Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Walaupun jumlah jualan kenderaan elektrik (EV) dijangka meruncing menjelang 2022 susulan subsidi terhad, namun pengurangan harga bateri sehingga 56% oleh Tesla mampu mendorong pertumbuhan pasaran itu.
Situasi itu secara tidak langsung membantu pengeluar sel bateri utama meraih 40% penjualan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) bagi tempoh lima tahun akan datang.
Ini adalah berikutan, menurut CGS-CIMB Research, purata kapasiti sel bateri EV setiap unit dijangka meningkat sebanyak 54% (65KWh pada 2020 kepada 100KWh pada 2025).
Memandangkan jualan EV meningkat dan sel bateri lebih besar, permintaan bateri EV di peringkat global akan meningkat sehingga 45% CAGR pada 2019 sehingga 2025.
“Tesla akan mendorong populariti EV dari segi harga bateri lebih rendah dan pembekalan bateri yang stabil.
“Walaupun tesla mampu mengawal harga bateri EV, tetapi kami menjangkakan ia mahu memastikan margin cukup bagi pengeluar susulan pembekalan yang kurang.
“Harga EV lebih rendah mendorong pertumbuhan jumlah bateri yang lebih kukuh,” jelas analisis CGS-CIMB.
Tesla menyasarkan jumlah jualan EV pada 2020 akan bertumbuh antara 30% hingga 40% berbanding tahun lalu dan merancang untuk meningkatkan kapasiti kepada 1 juta unit pengeluaran di Giga Shanghai (berbanding 500,000 unit sebelum ini) dan 500,000 unit di Giga Germany.
Sementara itu, CGS-CIMB menjangkakan sentimen sektor bateri juga akan meningkat kerana ketidaktentuan terhadap pertumbuhan sektor itu mula reda.
“Kami menjangkakan jualan EV atau kenderaan elektrik hibrid (PHEV) meningkat sehingga 38% CAGR pada tempoh 2020 hingga 2025 berdasarkan subsidi dan insentif untuk penumpang EV jarak jauh dan model EV baharu yang berpatutan.
“Mengungguli pasaran EV, Tesla akan memacu persaingan dalam ruangan EV dan bateri EV,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com