Telco perlu 'gali lagi' pendapatan hingga 11% demi 5G | DagangNews Skip to main content

Telco perlu 'gali lagi' pendapatan hingga 11% demi 5G

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Bagi merealisasikan rangkaian 5G, syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) mungkin ‘terpaksa’ meningkatkan pendapatan mereka sebanyak 4% hingga 11% daripada tahun 2020 untuk mengekalkan margin Pendapatan Sebelum Faedah, Pajak, Susut Nilai, dan Pelunasan (EBITDA). 

 

Jangkaan itu dibuat oleh Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) dengan andaian kos borong 5G akan dikenal pasti sepenuhnya sebagai perbelanjaan operasi dalam kenyataan keuntungan dan kerugian (P&L) telco.

 

Firma penyelidikan itu berpendapat, ini akan mendatangkan cabaran kepada telco kerana Big 3 (Celcom, Digi dan Maxis) sememangnya mengalami penurunan pendapatan selama tujuh tahun.

 

Jelasnya, telco perlu atasinya melalui peningkatan pendapatan atau pengoptimuman kos.

 

“Pertumbuhan (pendapatan telco) mungkin perlu diperoleh daripada kes-kes penggunaan 5G. Telco Malaysia telah mencuba potensi kes penggunaan 5G sejak 2019. 

 

“Kami fikir, jalur lebar mudah alih yang ditambah baik akan menjadi mudah untuk menghasilkan pendapatan (monetise), sebagai alternatif kepada jalur lebar tetap,” jelas Maybank IB dalam nota kajiannya bertarikh 23 Mac 2021. 

 

Sebelum ini, di bawah pelan pembangunan bagi rangkaian 5G di Malaysia, syarikat entiti khusus (SPV) telah ditubuhkan, dikenali sebagai Digital Nasional Berhad (DNB) serta diterajui oleh Ralph Marshall, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. 

 

Menerusi pelaburan RM15 bilion untuk tempoh 10 tahun, DNB dijangka beroperasi sepenuhnya dalam orientasi model borong 5G, di mana entiti itu akan menjual kapasitinya hanya kepada telco dan bukannya pelanggan.

 

Menurut Maybank IB, pendapatan DNB dijangka diraih menerusi perbelanjaan operasi pelanggan telco.

 

Menjelang 2025, Maybank IB menjangkakan kos borong 5G akan merangkumi sekitar 6% hingga 11% bagi Celcom dan Digi, sementara 4% hingga 8% buat Maxis.

 

“Peluang pendapatan dari 5G kepada telco masih lagi subjektif ketika ini, bagi pandangan kami. Berhubung langkah ini, kami telah berusaha untuk mengukur impak 5G kepada perbelanjaan operasi telco.

 

“Perinciannya sedikit untuk masa ini, oleh itu simulasi berangka ini memerlukan sejumlah andaian yang lebih besar. Kami mulakan dengan memperoleh EBITDA DNB selama 10 tahun dalam kadar pulangan dalaman (IRR) pelbagai projek menggunakan kos pelaburan RM15 bilion, pembahagian perbelanjaan operasi dan modal serta profil perbelanjaan modal sebagai titik permulaan,” jelas Maybank IB.

 

Hasilnya, Maybank IB menjangkakan pendapatan DNB akan menyaksikan trend meningkat, memandangkan penggunaan 5G akan mengambil masa. 

 

Berdasarkan 5% IRR projek, Maybank IB menjangkakan DNB akan memperoleh pendapatan antara RM1.4 bilion hingga RM2.7 bilion menjelang 2025, dan RM2.1 bilion hingga RM3.9 bilion pada 2030.

 

Sementara itu, memandangkan rangkaian 3G dijadualkan dihentikan pada akhir tahun 2021, ini bermakna ada kemungkinan penggunaan peralatan 3G oleh telco akan menyusut memasuki tahun 2021, kata Maybank IB.

 

Namun, Maybank IB memberitahu, telco tidak mendedahkan baki nilai peralatan 3G, dan masih belum jelas sekiranya penyusutan itu akan dianggap sebagai item terkecuali dalam laporan kewangan mereka kelak. - DagangNews.com