Teluk Cempedak hadkan 1,000 pengunjung | DagangNews Skip to main content

Teluk Cempedak hadkan 1,000 pengunjung

Pantai Teluk Cempedak

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Pantai popular Teluk Cempedak di Kuantan, Pahang menghadkan jumlah pengunjung kepada 1,000 orang pada satu-satu masa ketika hujung minggu mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner  Mohamad Noor Yusoff Ali berkata, jumlah tersebut dihadkan bagi memastikan pematuhan terhadap penjarakan fizikal dalam kalangan pengunjung.

"Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu ini bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam pada Jumaat hingga Ahad. Pengunjung juga diwajibkan mengambil kad pengunjung di tiga laluan masuk.

"Pengunjung tidak ditetapkan dengan had masa, namun jika jumlah pengunjung sudah mencapai had yang ditetapkan, kita akan lencongkan kenderaan yang ingin masuk Teluk Cempedak ke tempat lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Noor Yusoff Ali. Gambar oleh Astro Awani
Mohamad Noor Yusoff Ali. Gambar oleh Astro Awani

 

Terdahulu, pemeriksaan polis di pantai berkenaan pada Sabtu lalu mendapati jumlah pengunjung mencecah 2,000 orang hingga menyebabkan kesesakan.

Jelas Mohamad Noor lagi, pengecualian had akan diberikan kepada mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan pandu lalu restoren segera di kawasan berkenaan meskipun jumlah pengunjung telah melebihi had.

Tiga laluan masuk yang dibenarkan ke pantai berkenaan ialah melalui kawasan tempat letak kenderaan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), kawasan letak kenderaan pihak swasta dan laluan antara dua restoren makanan segera McDonald's dan KFC di kawasan tersebut.

Bagi pekerja, penjaja dan pekedai pula, mereka diwajibkan untuk menunjukkan kad pekerja atau pengesahan kepada petugas di setiap laluan masuk.

"Bagi memastikan SOP ini berjalan lancar, polis bersama MPK, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan ditempatkan di laluan masuk dan sekitar pantai.

"Kita harap pengunjung dapat memberikan kerjasama kepada SOP ini dan dapat bersabar jika mereka perlu beratur lama bagi mengambil giliran masuk. Tindakan ini perlu diambil bagi memastikan kita dapat menjaga penjarakan fizikal sekali gus membendung penularan wabak COVID-19," katanya lagi. - DagangNews.com