Tempahan Perodua D55L dibuka, harga bermula RM62,500 | DagangNews Skip to main content

Tempahan Perodua D55L dibuka, harga bermula RM62,500

Perodua D55L

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) membuka tempahan bagi model tercanggih D55L Varian X, H dan AV.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, varian tersebut ditawarkan dengan harga tentatif atas jalan sebelum insurans antara RM62,500 dan RM73,400 di Semenanjung Malaysia.

 

“Perodua D55L merupakan model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build, menerajui gaya, keselamatan, teknologi, tahap kelengkapan dan juga nilai bagi Perodua.

 

"Selari dengan matlamat kami untuk terus membawa lebih banyak teknologi canggih kepada orang ramai, Perodua D55L AV merupakan kenderaan Autonomi Tahap 2 yang paling mampu milik di Malaysia, menawarkan ciri keselamatan dan kemudahan canggih kepada semua.

 

"Kenderaan SUV kekal popular, dan Perodua D55L memenuhi trend ini dengan saiz yang kompak, gaya kontemporari dan ciri-ciri moden, menjadikannya paling sesuai untuk gaya hidup aktif seharian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Zainal Abidin Ahmad

 

D55L menampilkan ciri utamanya iaitu Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) yang terdapat pada semua varian.

 

ASA mampu beroperasi pada kelajuan yang lebih tinggi berbanding versi semasa dan mampu mengesan kenderaan dua-roda.

 

Kesemua varian turut dilengkapi Lane Departure Warning and Prevention, manakala varian AV didatangkan dengan Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

 

Dengan ciri-ciri tersebut, Perodua D55L merupakan model Perodua pertama yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2.

 

Perodua D55L juga merupakan kenderaan turbo pertama Perodua, selari dengan trend downsizing global di samping menjadi model Perodua pertama yang menggunakan transmisi boleh laras berterusan (CVT) yang dapat menyumbang kepada kecekapan bahan api 18.9 km/l – terbaik dalam kelasnya.

 

Tambah beliau, lampu hadapan LED terdapat pada semua varian, manakala varian H dan AV dilengkapi dengan Adaptive Driving Beam, panel meter TFT 7-inci serta sistem infotainment skrin sesentuh 9-inci dengan voice recognition.

 

Varian X dan H boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue.

 

Varian H turut dikeluarkan dengan pilihan Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red. 

 

Sementara itu, Varian AV boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White, Pearl Delima Red dan dua warna terakhir dengan bumbung hitam di samping tawaran waranti lima tahun/150,000 km.

 

“Memandangkan pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan dijangka berakhir pada akhir Jun, jangan tunggu lagi untuk menempah. 

 

"Penasihat jualan kami yang sah bersedia membantu anda dan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai Perodua D55L di semua pusat jualan kami di seluruh negara, dengan pematuhan ketat garis panduan COVID-19 demi kesihatan dan keselamatan anda," ujar beliau. - DagangNews.com