Tempahan segmen frekuensi radio Inari diyakini berkembang pada FY25 bagi hasilkan peranti elektronik generasi baharu | DagangNews Skip to main content

Tempahan segmen frekuensi radio Inari diyakini berkembang pada FY25 bagi hasilkan peranti elektronik generasi baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Tempahan bagi segmen frekuensi radio (RF) Inari Amertron Bhd diyakini terus berkembang pada FY25 kerana ia diperlukan bagi menghasilkan model peranti elektronik generasi baharu.

 

AmInvestment Bank Research berkata, sumbangan hasil daripada segmen RF berkemungkinan kekal melebihi 60%.

 

"Inari meningkatkan kapasiti untuk penerima optik 800G di Malaysia. Selain daripada peningkatan itu, kumpulan itu juga melabur untuk proses pembuatan cip, yang dijangka menjana pendapatan tambahan RM10 juta hingga RM15 juta setahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu menyusut kepada RM54.7 juta pada 4QFY24 berbanding RM66.3 juta bagi suku sama tahun sebelumnya disebabkan margin kasar jangka pendek yang lebih rendah disebabkan penghasilan produk baharu dalam usaha menjana pertumbuhan hasil baharu pada masa akan datang.

 

Hasil bagi suku itu bagaimanapun meningkat kepada RM333.1 juta berbanding RM298.8 juta pada 4QFY23.

 

Firma penyelidikan itu berkata, di Filipina, Inari sudah mula membina kemudahan baharu untuk pengeluaran penerima optik 800G yang dijangka siap pada 3QFY25.

 

Katanya, kumpulan itu merujuk bahawa empat barisan pengeluaran untuk modul memori telah dipasang dan pembuatan volum tinggi akan dimulakan menjelang 2QFY25, yang akan meningkat secara berperingkat untuk mencapai kapasiti penuh.

 

"Sumbangan hasil berpotensi mencecah RM60 juta berdasarkan kadar penggunaan penuh.

 

"Inari kini sedang berbincang dengan bakal pelanggan baharu yang ingin mempelbagaikan pangkalan pengeluarannya bagi projek pengurusan kuasa.

 

"Secara keseluruhannya, pengurusan memberi panduan bahawa kupulan akan membelanjakan sekitar RM150 juta dan perbelanjaan R&D sebanyak RM20 juta pada FY25," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM4.36 sesaham. - DagangNews.com