'Tempias' positif sektor media tidak berpihak kepada Astro | DagangNews Skip to main content

'Tempias' positif sektor media tidak berpihak kepada Astro

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Sept - CGS-CIMB Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor media dengan menjangkakan momentum jualan pengiklanan akan terus kekal stabil terutama menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

 

Sektor media kecuali Astro Malaysia Holdings Bhd. menyaksikan penguncupan hasil yang sederhana sebanyak 0.7% tahun ke tahun pada separuh pertama 2022. 

 

Bagaimanapun, menurut penganalisisnya, Kamarul Anwar Kamaruddin, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, perniagaan pengiklanan syarikat media ini meningkat semula dan, buat pertama kalinya, membantu mengimbangi kemerosotan dalam perniagaan bukan pengiklanan.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan sektor media kecuali Astro akan mengekalkan momentum jualan pengiklanan. Meskipun inflasi akan menjejaskan perbelanjaan pengiklan tetapi impak positif pembukaan semula ekonomi masih belum pudar.

 

"Selain itu, dengan khabar angin mengenai PRU-15 berlaku lebih awal daripada jangkaan, kerajaan dan parti politik mungkin ingin meningkatkan perbelanjaan iklan mereka di media tradisional," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

media prima

 

 

Pada separuh pertama 2022, sektor media kecuali Astro kembali mencatat untung bersih teras sebanyak RM25.9 juta berbanding kerugian bersih teras sebanyak RM2.1 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagi suku kedua, hasil sektor itu susut 2.4% tahun ke tahun tetapi berkembang 5.2%. Keuntungan bersih teras sektor berkenaan melonjak daripada RM107,000 pada suku kedua 2021 kepada RM19.6 juta pada suku kedua 2022. 

 

Untuk perbandingan suku ke suku pula, keuntungan bersih teras adalah 268.5% lebih tinggi daripada RM5.3 juta pada suku sebelumnya.

 

 

astro

 

 

Menurut Kamarul Anwar, dalam dekad yang lalu, hampir tidak dapat dibayangkan untuk bersikap optimistik terhadap media tradisional dan tidak bimbang terhadap prospek media digital.

 

Bagaimanapun, katanya, keadaan semasa industri penstriman global mungkin menimbulkan risiko kepada Astro.

 

"Kebimbangan utama kami terletak pada keputusan Warner Bros Discovery yang baru digabungkan untuk menyesuaikan semula cadangan penstrimannya dan mungkin menangguhkan pelancaran HBO Max di pasaran antarabangsa," katanya.

 

Sebelum ini, entiti yang tidak digabungkan WarnerMedia mengumumkan perancangan untuk melancarkan perkhidmatan penstriman di Malaysia selepas separuh pertama 2022.

 

Sebagai salah satu studio paling terkenal di dunia, Warner Bros dan syarikat berkaitannya memegang banyak harta intelek yang popular dengan isi rumah global.

 

"Jika Astro memperoleh HBO Max (atau apa sahaja yang mungkin dipanggil selepas rombakan Warner Bros Discovery) kemudian dan bukannya lebih awal, kami bimbang ini akan memperlahankan rancangannya untuk memenangi semula rakyat Malaysia," jelasnya.

 

Namun begitu, secara keseluruhan, Astro dan Media Prima Bhd. kekal menjadi pilihan utama CGS-CIMB bagi sektor media berdasarkan hasil dividen mereka yang cemerlang antara 4.9 hingga 105 bagi 2022-2023. - DagangNews.com