Tentera Darat pamer keupayaan pada latihan kuasa tembakan, guna teknologi dron | DagangNews Skip to main content

Tentera Darat pamer keupayaan pada latihan kuasa tembakan, guna teknologi dron

LKT menjadi medan latihan untuk mempamerkan keupayaan aset-aset Tentera Darat.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Tentera Darat telah mempamerkan keupayaan tempur menerusi aset-aset miliknya bernilai berbilion ringgit pada Latihan Kuasa Tembakan Tahun 2024 (LKT 2024) di Lapang Sasar Gemas, Kem Syed Sirajuddin, Negeri Sembilan.

 

Latihan ini yang dikendalikan oleh formasi Divisyen Ke-3 Infantri Tentera Darat melibatkan kesemua aset sedia ada termasuk helikopter MD530G Pasukan Udara Tentera Darat.

 

LKT merupakan acara tahunan bertujuan memberi pendedahan perlaksanaan kuasa tembakan kepada penuntut Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia siri 53/2024 Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT).

 

Peserta kursus ini melibatkan 180 pegawai kanan tentera berpangkat mejar dan setaraf selain polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

 

Kenderaan
Anggota artileri mempamerkan kemahiran mengendalikan meriam LG1 105mm.

 

Mereka termasuk 36 pegawai tentera dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Indonesia, Singapura, Filipina dan India.

 

Difahamkan, pelaksanaan LKT ini memakan belanja jutaan ringgit iaitu nilai penggunaan bahan-bahan letupan yang digunakan termasuk peluru berpandu selain kos logistik dan operasi.

 

Bagaimana pun, ia bukanlah pembaziran perlu kerana LKT tidak sekadar menguji kebolehan aset-aset tetapi koordinasi pasukan umpama dalam operasi sebenar.

 

Pada edisi LKT kali ini ia memberi tumpuan khusus kepada integrasi teknologi baharu seperti penggunaan dron.

 

Kenderaan
Sebahagian daripada penuntut MTAT termasuk dari luar negara yang menyaksikan LKT 2024.

 

Kapal

 

Dron digunakan untuk pengintipan dan serangan serta peningkatan keberkesanan tembakan tidak langsung dengan bantuan aset udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

 

Ia diintegrasikan dengan operasi darat yang melibatkan pelbagai jenis kenderaan dan persenjataan seperti kereta kebal PT91M, Gempita 8x8 AFV, Lipan Bara dan ACV 300 Adnan IFV. 

 

Aplikasi ini sejajar dengan trend semasa pertempuran moden yang semakin didominasi dron sebagai pelengkap sokongan sepertimana dipamerkan dalam konflik di Ukraine.

 

Dron bukan sekadar digunakan untuk tinjauan, malah untuk pertempuran seperti dron pembunuh (dron kamikaze) yang dilengkapi dengan bahan letupan.

 

Selain itu, latihan ini juga berfungsi sebagai platform menguji keupayaan komunikasi dan koordinasi antara pelbagai unit dalam situasi pertempuran yang kompleks.

 

Kenderaan

 

Kenderaan
LKT 2024 yang menelan belanja jutaan ringgit bukan pembaziran kerana ia merupakan latihan untuk menguji keupayaan aset-aset Tentera Darat sepertimana dalam operasi sebenar.

 

Ini demi memastikan setiap anggota berada di dalam kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi ancaman sebenar.

 

Dalam pelaksanaan LKT 2024, TUDM pula telah menguji peranan elemen-elemen sokongan operasi.

 

Antaranya tim ‘Ground Controller’, Markas Wilayah Udara 1 dan Ground Forward Air Controller (GFAC), Pasukan Khas TUDM.

 

Elemen-elemen ini memainkan peranan penting dalam memastikan koordinasi antara pesawat dan tembakan daripada pesawat pejuang TUDM tepat ke sasaran.

 

Kenderaan

 

Kenderaan

 

TUDM telah mempamerkan keupayaan aset pesawat pejuang dalam segmen tembakan tidak langsung.

 

Pesawat pejuang yang terlibat adalah 2 buah Hawk 208 dari No 6 Skuadron yang membuat profil menggugurkan bom GBU 12 dan Mk82.

 

Kenderaan
Helikopter EC725AP TUDM turut terlibat dalam LKT 2024.

 

Kenderaan
Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan hadir menyaksikan LKT 2024. 
 

 

Sebuah pesawat Sukhoi Su-30MKM dari No 12 Skuadron pula membuat profil menggugurkan bom FAB500 manakala sebuah pesawat F/A-18D Hornet dari No 18 Skuadron membuat profil menggugurkan bom Mk83. 

 

Bagi segmen dinamik, penglibatan sebuah helikopter EC725AP dari No 10 Skuadron yang melaksanakan ‘spie-rig’ dan ‘fast roping’ bersama anggota Grup Gerak Khas dan tim pandu arah udara. - DagangNews.com