Tentera Darat terima 4 helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk tahun depan bagi gandakan kemampuan PUTD | DagangNews Skip to main content

Tentera Darat terima 4 helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk tahun depan bagi gandakan kemampuan PUTD

Pengoperasian helikopter Black Hawk meningkatkan mobiliti udara Tentera Darat.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 29 Dis - Jangkaan untuk Tentera Darat menerima dua daripada empat helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk secara sewaan berjalan lancar lancar apabila pesawat berkenaan sedang disiapkan sebelum dihantar.

 

Kementerian Pertahanan pada Mei lalu menandatangani kontrak sewaan helikopter tersebut dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn Bhd bernilai RM187 juta.

 

Empat buah helikopter ini akan disewa untuk tempoh lima tahun sebelum Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) memutuskan perolehanan helikopter yang diinginkan.

 

Difahamkan ketika ini kesemua helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk sedang menjalani penyelenggaraan semula termasuk pemasangan komponen bagi memastikan pesawat dioperasikan dengan baik.

 

Helikopter
Helikopter Black Hawk sedang diselenggara oleh petugas Ace Aeronautics di Guntersville.

 

Ini kerana helikopter Black Hawk sewaan ini merupakan bekas pesawat yang dimiliki oleh Tentera Darat Amerika Syarikat (AS) dengan lingkungan usia lebih 15 tahun.

 

Kerja-kerja selenggaraan ini dilakukan oleh syarikat Ace Aeronautics di Guntersville dekat Alabama, AS iaitu sebuah syarikat yang berkemahiran dalam bidang avionik dan kerangka udara.

 

Perkara ini turut dikongsikan Pengarah Urusan Kumpulan Aerotree, Mejar (B) Datuk Halim Othman menerusi laman Facebook beliau.

 

Dalam perkembangan sama, PUTD telah menghantar kumpulan pertama tiga juruterbang ke Ankara, Turkiye bagi mengikuti latihan penyesuaian dan pengendalian simulator UH-60 Black Hawk.

 

Helikopter
Mejar (B) Datuk Halim Othman (dua dari kanan) semasa melawat fasiliti Ace Aeronautics (gambar media sosial Datuk Halim Othman).

 

Helikopter

 

Turut serta dalam latihan ini ialah seorang juruterbang dari Kumpulan Aerotree.

 

Latihan penerbangan simulator ini sebagai persediaan bagi juruterbang Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD menerima pesawat baru.

 

Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman sebelum ini memaklumkan bahawa PUTD dijangka menerima helikopter Black Hawk pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

 

Beliau juga memberitahu akan menghantar juruterbang ke Turki secara berperingkat-peringkat untuk menjalani latihan simulator Black Hawk sebelum helikopter itu dibawa ke Malaysia.

 

Helikopter
Black Hawk merupakan helikopter utiliti saiz sederhana yang terbaik.

 

Black Hawk merupakan helikopter utiliti ketenteraan yang paling berjaya dan banyak digunakan khususnya oleh tentera negara barat menerusi pelbagai varian sejak empat dekad lalu.

 

Tentera AS sahaja memiliki lebih 2,000 helikopter Black Hawk dengan varian yang terbaharu ialah UH-60M.

 

Penerimaan Sikorsky UH-60A+ Black Hawk nanti menjadikan Tentera Darat Malaysia sebagai pengguna baharu.

 

Ketika ini hanya Tentera Udara Diraja Malaysia mengoperasikan helikopter jenis ini iaitu S-70A-34 konfigurasi VIP sejak tahun 1997.

 

Dalam tempoh lima tahun, pengoperasian helikopter Black Hawk dapat memberikan kemahiran baharu kepada PUTD apabila beralih daripada helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri.

 

Helikopter
Thailand turut menggunakan helikopter Black Hawk.

 

Justeru, kebarangkalian untuk PUTD memilih Black Hawk sebagai helikopter utiliti saiz sederhana pada masa hadapan tidak mustahil, apatah lagi keupayaan helikopter tersebut tidak diragukan.

 

Jika pun PUTD memilih untuk mendapatkan helikopter Black Hawk terpakai, ia masih berbaloi selain boleh membeli dengan jumlah lebih banyak.

 

Ini kerana setiap tahun tentera AS melupuskan lebih 100 helikopter Black Hawk lama secara dijual kepada syarikat ketiga yang kemudian menguruskan penjualan kepada pengguna baharu. - DagangNews.com