Terbitan hak Scanwolf terlebih langganan 101.85% | DagangNews Skip to main content

Terbitan hak Scanwolf terlebih langganan 101.85%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Scanwolf Corporation Berhad mengumumkan terbitan hak saham pinjaman tidak bercagar boleh tukar tidak boleh tebus (ICULS) dengan waran kumpulan telah terlebih langganan sebanyak 101.85%.

 

Ini melibatkan 10 sen sesaham dengan langganan 1 waran untuk 2 ICULS, sekali gus membolehkan kumpulan menjana hasil sehingga RM10.5 juta.

 

ICULS dan waran itu dijangka disenaraikan dan disebut harga di Papan Utama Bursa Securities pada 9 Ogos 2021.

 

Pengarah Eksekutif Scanwolf, Ng Chee Wai berkata, kumpulan gembira melihat sokongan yang memberangsangkan daripada pemegang sahamnya, sehingga terbitan hak itu terlebih langganan.

 

“Modal ini membolehkan Scanwolf untuk mempercepatkan strategi pengembangannya untuk meraih peluang perniagaan yang wujud daripada perang perdagangan berpanjangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta pemulihan ekonomi daripada pengedaran vaksin COVID-19.

 

“Kami melihat permintaan kian meningkat bagi produk perabot susulan peralihan kepada persekitaran bekerja dari rumah (WFH) juga,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Walaupun lonjakan kes COVID-19 terus mendatangkan risiko kepada pembukaan semula ekonomi global, namun pengedaran vaksin yang berkesan dan permintaan tertangguh meletakkan Scanwolf dalam kedudukan lebih baik pada tahun kewangan 2022 (FY22) dan mengekalkan pertumbuhan hasil dua digit kumpulan.

 

Scanwolf merupakan pemain industri utama dalam reka bentuk dan pengeluar penyemperitan plastik untuk perabot, pembungkusan dan industri bahan binaan, pengeluar lantai vinil dan pemaju hartanah.

 

Dengan lebih 35 tahun pengalaman dalam industri plastik, mereka menjadi salah satu pembekal pilihan bagi pasaran tempatan dan global. - DagangNews.com