Terbitan pertama pertama sukuk RM1.4 bilion edotco terlebih langgan 5.2 kali | DagangNews Skip to main content

Terbitan pertama pertama sukuk RM1.4 bilion edotco terlebih langgan 5.2 kali

KUALA LUMPUR 9 Sept - Edotco Malaysia Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan edotco, berjaya menetapkan harga dan menerbitkan sukuk pertama bernilai RM1.4 bilion di bawah Program Nota Jangka Pertengahan Islam bernilai sehingga RM3 bilion.

 

Penerbitan sukuk itu merupakan langkah pertama kumpulan edotco menyertai pasaran modal bagi tujuan pengumpulan dana.

 

Kumpulan itu berkata proses penetapan harga sukuk tersebut mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelabur pendapatan tetap di Malaysia.

 

Katanya, dengan nilai tempahan mencecah angka RM9 bilion di kemuncaknya, ia membolehkan edotco Malaysia meningkatkan transaksi daripada saiz asal RM1 bilion kepada RM1.4 bilion yang mewakili nisbah bidaan kepada liputan sebanyak 5.2 kali.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamed Adlan Ahmad Tajudin berkata, minat kukuh yang ditunjukkan oleh pelabur juga membolehkan kadar hasil keseluruhan sukuk dikurangkan kepada 22 mata asas bagi semua tempoh dan akhirnya ditetapkan pada harga masing-masing 3.93% setahun (tiga tahun), 4.27%  setahun (lima tahun), 4.44% setahun (tujuh tahun) dan 4.54% setahun (10 tahun). 

 

“Menerusi terbitan sukuk sulung edotco Malaysia, kumpulan edotco mengambil satu lagi langkah penting ke arah menerapkan kaedah pengurusan modal yang lestari dan berhemat dalam strategi perniagaan kami.

 

“Penerbitan sukuk ini merupakan peluang baik untuk Kumpulan edotco terus mempelbagaikan pelaburan ke dalam sumber pembiayaan alternatif yang selari dengan profil aliran tunai kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Hasil terbitan program sukuk itu akan digunakan untuk membiayai urusan korporat am patuh syariah kumpulan syarikat edotco Malaysia dan membiayai semula pinjaman sedia ada. 

 

Kumpulan edotco merupakan syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi bersepadu serantau terulung dan pertama di Asia yang mengendalikan dan menguruskan portfolio lebih 50,000 menara di seluruh Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Sri Lanka, Pakistan, Filipina, Myanmar dan Laos.

 

Bagi program sukuk itu, Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) dan OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin) berperanan sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan penasihat kelestarian bersama.

 

Selain itu, Maybank IB dan OCBC Al-Amin juga berperanan sebagai pengurus utama bersama bagi penerbitan sukuk dengan RHB Investment Bank Berhad.

 

Program sukuk tersebut telah diberi penarafan akhir AA+IS dengan tinjauan stabil oleh MARC Ratings Bhd. - DagangNews.com