PUTRAJAYA 25 Sept - Sehingga 22 September 2021, terdapat sebanyak 227,262 kekosongan jawatan ataupun peluang pekerjaan yang masih aktif, dengan Selangor terus mencatatkan jumlah kekosongan jawatan aktif tertinggi iaitu sebanyak 54,781 jawatan.
Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 41,346 jawatan dan Sarawak dengan 24,609 jawatan, menurut kekosongan jawatan yang direkodkan oleh portal MYFutureJobs.
''Sektor pembuatan menyumbang kekosongan jawatan terbanyak iaitu 371,964 jawatan. Sektor perkhidmatan makanan dan minuman pula menawarkan 235,969 jawatan kosong. Manakala, serta sektor pemborongan dan peruncitan sebanyak 162,488 jawatan kosong,'' kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Sejak 1 Januari 2021 sehingga kini kata beliau, kementeriannya berjaya membantu seramai 217,013 individu memperoleh pekerjaan menerusi Portal MYFutureJobs, dan juga melalui Program PenjanaKerjaya (Program Insentif Pengambilan Pekerja) yang telah diperkenalkan Kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.
''Bagi para pencari kerja yang memerlukan bantuan perkhidmatan pekerjaan, mereka boleh mendaftar di Portal MyFutureJobs di https://www.myfuturejobs.gov.my/,'' kata beliau dalam kenyataan di sini.
Saravanan berkata, kementerian menyambut baik langkah Kerajaan untuk melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) seiring dengan sasaran untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan dalam negara.
''Berdasarkan kepada sasaran dan senario pasaran pekerjaan negara semasa serta usaha bagi mewujudkan peluang pekerjaan termasuk aspek latihan kemahiran untuk meningkatkan peluang mendapat pekerjaan, saya telah mencadangkan pembangunan satu platform digital sehenti dalam Mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 22 September 2021.
''Cadangan ini telah disambut baik dan dipersetujui oleh Majlis Pekerjaan Negara. Platform ini bertujuan bagi memastikan semua latihan peningkatan kemahiran dan kepelbagaian kemahiran (upskilling/reskilling) yang dilaksanakan oleh semua Kementerian/Jabatan serta menggunakan dana Kerajaan dapat dipantau secara berstruktur dan efektif,'' katanya.
Susulan itu, KSM menerusi HRD Corp bersama Kementerian Kewangan akan membangunkan platform digital sehenti ini untuk mengurangkan ketirisan dana Kerajaan akibat tuntutan berganda (double dipping) oleh penyedia latihan.
Selain itu, platform ini juga bertujuan untuk mengelak berlakunya pendaftaran bertindih daripada peserta seterusnya akan menjejaskan peluang peserta lain untuk menyertai pelbagai program peningkatan kemahiran dan kepelbagaian kemahiran yang dilaksanakan oleh Kementerian/Jabatan dengan bantuan kewangan Kerajaan.
Dalam membantu pencari kerja untuk mendapat pekerjaan baharu ketika negara berdepan pandemik COVID-19, KSM telah memperkenalkan Program PenjanaKerjaya (Program Insentif Pengambilan Pekerja) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Insentif yang berjumlah antara 40% dan 60% daripada gaji tawaran selama 6 bulan, akan diberikan kepada majikan bagi menggalakkan penciptaan pekerjaan dan pengambilan pekerja tempatan.
Berdasarkan laporan yang disediakan oleh LAKSANA bersama KSM, PERKESO telah menyalurkan lebih daripada RM1.2 bilion dana kerajaan dalam bentuk insentif bagi menempatkan 160,554 pekerja pada tahun 2020 dan 217,148 pekerja pada tahun 2021.
KSM juga telah menyalurkan bantuan Elaun Mencari Pekerjaan berjumlah RM646.15 juta kepada orang yang kehilangan pekerjaan sejak penularan wabak COVID-19 sehingga kini.
Di bawah Belanjawan 2021 dan Pakej PEMULIH, Elaun Mencari Pekerjaan ini telah ditambah baik dan diperluaskan kepada orang yang kehilangan pekerjaan serta pencari kerja yang tidak memenuhi kelayakan caruman ataupun tidak berdaftar lagi di bawah PERKESO. - DagangNews.com