Terengganu Inc rekod pencapaian hasil RM1.2 bilion pada 2021 | DagangNews Skip to main content

Terengganu Inc rekod pencapaian hasil RM1.2 bilion pada 2021

oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 26 Sept - Syarikat induk pelaburan milik kerajaan negeri Terengganu, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) dan anak-anak syarikatnya mencatatkan peningkatan ketara keseluruhan dalam hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 sebanyak RM1.2 bilion.

 

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, jumlah itu berjaya mengatasi prestasi tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM1 bilion.

 

Menurutnya, hasil Kumpulan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 14 peratus atau RM148.1 juta berbanding tahun kewangan 2020 yang disumbangkan oleh prestasi memberangsangkan dalam anak-anak syarikatnya.


 

Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun
                                Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun

 


"Trend kenaikan lain termasuk keuntungan sebelum cukai dan zakat Kumpulan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 364 peratus (RM60.9 juta) kepada RM77.7 juta daripada RM16.7 juta pada tahun kewangan 2020.

 

"Walaupun kos operasi meningkat sebanyak RM67.1 juta atau 25 peratus, Kumpulan Terengganu Inc masih mencapai keuntungan selepas cukai untuk meneruskan operasi sebanyak RM8.6 juta pada tahun semasa," katanya kepada pemberita hari ini.

 

Sektor perladangan yang digerakkan oleh TDM Berhad dan Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kepada Kumpulan iaitu sebanyak 49 peratus.

 

Ini didorong oleh harga purata minyak sawit dan isirong sawit diperakui yang lebih tinggi diikuti oleh sektor penjagaan kesihatan (19 peratus) serta sektor tenaga dan sumber (17 peratus).


 

Terengganu

 

Tambahnya, dalam sektor penjagaan kesihatan pula, hasil meningkat sebanyak RM21.7 juta atau 11 peratus daripada RM202.6 juta kepada RM224.3 juta.

 

"Momentum ini disumbangkan oleh pulangan yang lebih tinggi bagi setiap pesakit dan peningkatan dalam bilangan pesakit luar.

 

"Sementara itu, kluster tenaga dan sumber Kumpulan yang diterajui oleh Golden Pharos Berhad pula mempamerkan hasil baik sebanyak RM9.5 juta, diterajui oleh pengeluaran yang lebih tinggi.

 

"Melihat kepada segmen hasil, ladang hutan meningkat sebanyak 357 peratus berbanding tahun sebelumnya, diikuti venir sebanyak 62 peratus dan serpihan kayu sebanyak 24 peratus," katanya.

 

Dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan, sektor pelancongan menerusi YTYI Sdn Bhd (Permai Hotel) turut memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.2 juta selepas mengalami kerugian beberapa tahun. 


 

permai hotel
Permai Hotel, Kuala Terengganu

 

 

Menurutnya, hasil dalam sektor tersebut telah meningkat sebanyak 66 peratus (RM3.5 juta) berbanding tempoh yang sama pada tahun kewangan 2020, iaitu kerugian sebanyak RM7.3 juta.

 

"Anak syarikat Kumpulan yang menjurus kepada sektor pembinaan, GPQ Sdn. Bhd turut memperoleh hasil tinggi pada 2021 iaitu sebanyak RM42.5 juta berikutan siapnya projek Hospital Pengajaran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus.


 

Hospital Pengajaran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus
Hospital Pengajaran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus

 


"Kami optimis Terengganu Inc dan anak-anak syarikat Kumpulannya dapat mengekalkan kadar kukuh seiring dengan pemulihan ekonomi negara yang berterusan. Prinsip perniagaan kami yang mampan dan amalan pengurusan risiko sentiasa diutamakan.

 

"Sering kami tekankan, usaha kami untuk mencapai kejayaan melangkaui objektif komersial semata-mata. Bagi memajukan pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan sosial dan tadbir urus yang baik, kami akan terus menggalakkan daya tahan dan pertumbuhan mampan," katanya.

 

Ditubuhkan pada tahun 2006, Terengganu Inc adalah syarikat induk pelaburan milik kerajaan negeri Terengganu yang berperanan menguruskan aktiviti pelaburan dan komersial melalui anak-anak syarikat Kumpulan.

 

Dengan matlamat untuk mencapai hasil pelaburan tinggi menjelang tahun 2030, Terengganu Inc kekal menumpukan usaha pertumbuhan bisnes mampan di dalam pelbagai kluster utama antaranya perladangan, perkhidmatan sokongan minyak & gas, sumber asli, hartanah, pembangunan & pembinaan hartanah dan penjagaan kesihatan. - DagangNews.com