Terkesima masalah air Lembah Klang berlaku di Kuala Nerus | DagangNews Skip to main content

Terkesima masalah air Lembah Klang berlaku di Kuala Nerus

PENDUDUK mengisi air bersih yang disediakan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) ke dalam botol ekoran bekalan air terputus sejak seminggu lalu. FOTO HARIAN METRO : GHAZALI KORI

 

 

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

 

PENDUDUK Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu merasa lega bekalan air telah pulih kembali untuk hidup seperti biasa. Sesungguhnya tiada air membebankan kami apalagi untuk OKU yang lemah dan tidak berkemampuan.

 

Sebelum itu, bekalan air di dua daerah berkenaan pulih selama 10 hari selepas dilanda krisis air kali pertama selama kira-kira dua minggu sejak 2 Ogos lalu disebabkan paip bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

 

Gangguan air kembali melanda sejak 23 Ogos lalu selepas masalah sama dikesan berlaku di paip yang sama namun lokasi berlainan daripada kejadian terdahulu.

 

Kali pertama gangguan bekalan air di dua daerah berlaku selama kira-kira dua minggu sejak 2 Ogos lalu.

 

Gangguan bekalan air enam kawasan di Terengganu mula pulih semalam melibatkan 29,151 akaun pengguna. Ini adalah jumlah yang ramai lebih kurang 150,000 orang.

 

Bagaimana berlaku kelewatan 4% kawasan yang berada jauh dari tangki utama antaranya kawasan Maras, Kampung Bukit Wan, Lingai, Bukit Sudu, Bukit Chempaka, Wakaf Tembesu, Banggil Air Lilih dan Padang Sentosa.

 

Bekalan air bersih telah disalurkan melalui pengaktifan sebahagian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit dengan keupayaan 60 juta liter air sehari (MLD) melalui muka sauk Pulau Bahagia.

 

Loji baharu itu berkeupayaan menyalurkan 120MLD yang dijangka siap pada Mei 2022. Jajaran paip Tangki Utama Berangan akan menjadi alternatif kepada bekalan air bersih dari LRA Bukit Berapit pada masa akan datang.

 

Dengan adanya kedua-dua sistem ini, maka bekalan air di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu akan lebih terjamin. Begitulah harapan kami semoga tidak berulang lagi.

 

Kerja-kerja pembaikian paip pecah di dasar Sungai Terengganu sedang giat dilaksanakan dan akan pulih mengikut jadual.

 

Kejadian tiada air sekali gus mengundang kemarahan 28,700 pengguna akaun Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) kerana berlaku selang 10 hari selepas bekalan kembali pulih.

 

Ini tidak masuk akal kalau difikirkan sejak 64 tahun merdeka.

 

Pada sebulan lalu saya menghadapi ujian yang amat berat sebagai OKU untuk mendapatkan air bersih. Saya ada pergi ke masjid yang tiada juga air untuk mandi dan buang air. Itu sebelum air dibekalkan.

 

Alhamdulilah, keluarga jiran mempunyai air boreng yang cukup untuk jiran-jiran terdekat. Namanya Pak Pin yang cukup baik hati dengan menyediakan tandas dan bilik mandi diluar rumah untuk kegunaan kami.

 

 

fudzail
TANGKI air sumbangan Pak Pin yang rumahnya kira-kira 100 meter dari rumah penulis di Kuala Nerus.

 

 

Rumahnya kira-kira 100 meter dari rumah kami. Mudah untuk mengambil air setiap hari. Pak Pin yang kesiankan saya seorang OKU terus mengambil tangki air yang agak besar diletakkan di kawasan rumah saya untuk memudahkan mengambil air. Ada lori menghantar air yang kebetulan pejabat air SATU hanya 1 kilometer dari rumah.

 

Selama sebulan, saya melihat suasana masyarakat di Kuala Nerus dengan tiada air yang pertama berlaku. Sejak zaman sekolah dahulu dan beberapa kali di Lembah Klang. 

 

Tetapi ini adalah yang paling lama. Untuk sebulan lebih. Sukar untuk difikirkan tetapi terpaksa menghadapi dengan sabar.

 

Banyak kedai makan yang tutup dan ini agak menyukarkan. Sudahlah PKP dengan COVID-19 terus menyerang dengan Terengganu bertambah wabak hampir ke serbu orang setiap hari.

 

Apalagi untuk membasuh pinggan mangkuk dan baju kotor yang terpaksa dihantar ke kedai laundry yang terletak di Kuala Terengganu.

 

Saya melihat orang lebih bersabar walau ada yang marah-marah. Lebih banyak air boreng di pasang di rumah-rumah. Penduduk mencari alternatif sumber air bersih baharu antaranya telaga tiub bagi melancarkan urusan harian mereka.

 

Situasi ini menyebabkan penggerudi telaga tiub atau lebih dikenali sebagai air boreng oleh penduduk tempatan, tidak menang tangan syarikat melayan permintaan orang ramai.

 

Secara purata, syarikatnya mampu membuat dua projek air boreng setiap hari.

 

Bagi meringankan beban kewangan pelanggan turut menawarkan bayaran ansuran secara bulanan tanpa faedah iaitu RM1,500 untuk tiga bulan. Semua orang susah pasca pandemik COVID-19 ini.

 

Ramai pelanggan yang mengambil pakej ansuran ini kerana tidak perlu mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak sekali gus.

 

Bukan keuntungan banyak yang dicari, sebaliknya rasa mahu menolong orang dalam kesusahan, sebab itu tawarkan bayaran secara ansuran.

 

Begitulah selama sebulan lebih terpaksa menahan kesabaran tanpa air bersih di rumah. Mungkin syarikat pembekal air atau Satu tidak pernah memikirkan kerosakan dan tiada alternatif selama ini.

 

Apalagi kesukaran pengguna!  - DagangNews.com