KUALA LUMPUR 13 Nov - Gergasi minyak dan gas Malaysia, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), dinobatkan sebagai jenama paling berharga di ASEAN tahun ini, menurut firma penilaian jenama global, Brand Finance.
Dalam laporan yang dikeluarkan pada Rabu, Brand Finance menyatakan prestasi kewangan Petronas kekal kukuh, didorong oleh perubahan strategik ke arah peningkatan aktiviti perdagangan dalam minyak mentah dan petrokimia, menyumbang kepada peningkatan hasil yang ketara.
Laporan tersebut menyebut nilai jenama Petronas meningkat sebanyak 15% kepada RM60.88 bilion.
Institusi kewangan terbesar di Singapura, DBS Bank Ltd, diiktiraf sebagai jenama kedua paling berharga di rantau ini, dengan nilai jenamanya meningkat 5% kepada RM49.05 bilion.
Tempat ketiga diduduki oleh syarikat telekomunikasi Vietnam, Viettel, dengan nilai jenama sebanyak RM39.7 bilion, yang berjaya mengekalkan penguasaan pasaran dan menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan.
Setiap tahun, Brand Finance menilai 6,000 jenama terbesar dunia serta menyenaraikannya mengikut kedudukan.
Antara yang dinilai adalah nilai pasaran yang direkod jenama di pasaran terbuka, manakala kekuatan jenama pula adalah keberkesanan atau prestasi jenama berbanding pesaingnya. - DagangNews.com