JOHOR BAHRU 14 Nov - Sebanyak 21.6% daripada pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang tamat pengajian tahun ini, memperoleh pekerjaan dengan gaji premium RM4,000 dan ke atas, kata Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.
Beliau menyatakan, ia menunjukkan peningkatan berbanding dengan konvokesyen tahun lalu, di mana 18.4% graduan yang bekerja memperoleh gaji serupa.
"Menurut data dari Kajian Jejak Graduan Kementerian Pengajian Tinggi untuk konvokesyen ke-68 tahun ini, kira-kira 21.6% atau 480 daripada 2,225 graduan ijazah pertama telah mendapatkan pekerjaan dengan gaji premium.
"Dalam pada itu, sebanyak 22.6% daripada pelajar UTM yang tamat pengajian tahun ini bekerja dengan syarikat multinasional global (MNC). Ini membuktikan bahawa kualiti graduan UTM, dari segi akademik, kemahiran dan etika, sangat relevan untuk memenuhi keperluan pasaran kerja yang progresif," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar mengenai majlis konvokesyen universiti yang akan diadakan antara 16 hingga 21 November 2024.
Ahmad Fauzi berkata, universiti kini bukan sahaja memastikan graduan mendapat pekerjaan, tetapi juga pekerjaan dengan gaji yang baik.
"Graduan UTM mempunyai kadar kebolehkerjaan 100%. Oleh itu, aspirasi dan sasaran baharu kami kini adalah untuk melahirkan graduan premium Tier 1.
"Golongan ini termasuk graduan yang berjaya mendapatkan pekerjaan dengan gaji premium melebihi RM4,000, serta mereka yang bekerja di MNC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya. - DagangNews.com