53,000 berumur bawah 30 tahun dibebani hutang terkumpul hampir RM1.9 bilion | DagangNews Skip to main content

53,000 berumur bawah 30 tahun dibebani hutang terkumpul hampir RM1.9 bilion

Amir Hamzah Azizan
Oleh Shamsiah Zulkafli

 

KUALA LUMPUR 1 Okt - Sebanyak 53,000 individu berumur bawah 30 tahun dibebani hutang terkumpul berjumlah hampir RM1.9 bilion, dedah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, AKPK juga mendapati 28 peratus rakyat Malaysia yang bekerja, terpaksa meminjam wang untuk membeli barangan keperluan.

 

"Peningkatan kebolehcapaian pinjaman peribadi, kad kredit serta skim 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian' amat membimbangkan, terutamanya dalam kalangan golongan dewasa muda.

 

 

"Meskipun cara itu memudahkan, kekurangan pemahaman mengenai kesan dan kegagalan mengurus komitmen kemudahan tersebut boleh mengakibatkan hutang yang tidak terurus," katanya dalam ucapan perasmian Bulan Celik Kewangan 2024.

 

Amir Hamzah berkata, menurut tinjauan celik kewangan yang dijalankan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), hanya 36 peratus rakyat Malaysia memahami konsep asas kewangan seperti kadar faedah, inflasi dan kepelbagaian risiko.

 

Tinjauan itu meletakkan Malaysia di tempat ke-26 daripada 39 negara yang dikaji, di bawah purata global sebanyak 42 peratus.

 

Jelas Amir Hamzah, sehingga tahun lalu, hutang isi rumah mencecah RM1.53 trilion, bersamaan 84.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), antara nisbah tertinggi di rantau ini.

 

"Angka yang membimbangkan ini menunjukkan bahawa isi rumah semakin bergantung kepada kredit untuk membiayai gaya hidup dan pelaburan mereka.

 

"Jika tidak diurus dengan teliti, tahap hutang sedemikian boleh menyebabkan tekanan kewangan jangka panjang," ujarnya.

 

Beliau menekankan, celik kewangan adalah asas kepada pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia, menjadikannya sebagai tonggak utama rangka kerja ekonomi Madani.

 

"Kerajaan, melalui Rangkaian Pendidikan Kewangan mengutamakan celik kewangan sebagai elemen teras agenda dasarnya di bawah Strategi Kebangsaan untuk Celik Kewangan 2019-2023.

 

"Strategi ini bertujuan untuk membangunkan tabiat kewangan yang bertanggungjawab, meningkatkan perancangan kewangan dan membina daya tahan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya. - DagangNews.com