PRO-NET umum pelantikan 36 pengedar Proton e.MAS | DagangNews Skip to main content

PRO-NET umum pelantikan 36 pengedar Proton e.MAS

Sebahagian 40 eksekutif dan pengurus pengedar PRO-NET ketika mengunjungi Institut Penyelidikan Geely di Hangzhou China, baru-baru ini.
Oleh Shamsiah Zulkafli

SUBANG JAYA 1 Okt - Anak syarikat pembuat kereta nasional PROTON, PRO-NET mengumumkan pelantikan sebanyak 36 buah pengedar Proton e.MAS, melebihi dua kali ganda berbanding 17 pengedar yang diumumkan pada bulan Jun lalu.

 

Perkembangan itu sekali gus menekankan komitmen syarikat berkenaan dalam meningkatkan pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia serta memperluaskan keupayaan perkhidmatan pelanggannya.

 

Peningkatan jumlah pengedar Proton e.MAS itu disusuli dengan lawatan ke Institut Penyelidikan Geely (GRI) di Hangzhou China, yang disertai lebih 40 eksekutif dan pengurus pengedar dari Malaysia. 

 

Lawatan selama tiga hari tersebut bertujuan memberikan peluang kepada peserta untuk merasai teknologi canggih Geely dalam mendapatkan input mengenai cara pengendalian operasi jualan dan servis model EV premium dari rangkaian pengedar di bawah syarikat Geely.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, sejak pelancaran jenama Proton e.MAS pada bulan Jun lalu, pembangunan yang pesat menjelang pelancaran model pertamanya harus diberi pujian. 

 

"Penambahan 19 buah pengedar baru ke dalam ekosistem kami menunjukkan semangat juang yang tinggi terhadap ketibaan EV nasional pertama PROTON.

 

"Reaksi yang diterima daripada pengurus pengedar yang menyertai lawatan Geely juga amat memberangsangkan. Penyelidikan yang mendalam Geely mengenai pembangunan teknologi canggih telah meningkatkan kesediaan dalam mengendalikan rangkaian pengedar Proton e.MAS sambil membangunkan ekosistem EV di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

 

Para pengedar melawat pusat GRI di Teluk Hangzhou untuk mendalami dengan lebih lanjut mengenai teknologi canggih dan inovasi yang dibina di dalam model Proton e.MAS 7 iaitu model sulung jenama tersebut. 

 

Selain daripada sesi perkongsian teknologi, para pengedar juga berpeluang merasai sendiri teknologi tersebut dengan pandu uji Geely E5 di litar percubaan yang telah disediakan.

 

Para pengedar turut ke Pusat Pengesahan Kenderaan Tenaga Baharu untuk melihat bagaimana Geely menjalankan ujian pra-pengeluaran, penilaian dan pengesahan bagi pembuatan dan teknologi kenderaan EV.

 

Lawatan ke pelbagai pengedar premium di bawah rangkaian luas Geely juga turut diatur.

 

Pengurus Pengedar Proton e.MAS Kota Bharu JM Otomobil (EV), Abdul Hakim Bin Basri menyifatkan, lawatan itu sangat membuka mata kerana beliau dapat merasai pengalaman teknologi canggih yang sedang dibina.

 

"Ini meningkatkan lagi keyakinan kami terhadap teknologi dan inovasi global yang dibangunkan bersama Geely dan PROTON yang akan digunakan di dalam kenderaan elektrik pertama Malaysia," katanya. - DagangNews.com