KUALA LUMPUR 1 Okt - Masa depan teknologi kewangan (fintech) di Malaysia akan dipengaruhi oleh penawaran dan permintaan, peningkatan pilihan teknologi dalam memacu model perniagaan baharu serta teknologi utama baru muncul dan masih berkembang.
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Suhaimi Ali berkata, pelanggan juga akan menuntut pengalaman yang lebih lancar dan mudah semasa berinteraksi dengan penyedia kewangan.
"Ini akan membawa kepada peningkatan model perniagaan berorientasikan digital. Zaman di mana transaksi kewangan dilakukan pada waktu pejabat sudah berlalu.
"Pemain dalam ekosistem perlu menerima perubahan, melabur dalam inovasi dan memastikan mereka boleh menyesuaikan diri dengan landskap yang berubah," katanya dalam sesi panel Jumpstart Dialogue - Regulators on The Future of Finance di Sidang Kemuncak Fintech SCxSC 2024 anjuran Suruhanjaya Sekuriti (SC) di sini, hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata, terdapat dorongan global untuk kelestarian, dengan perniagaan dan pembuat dasar mengubah usaha mereka untuk selaras dengan objektif Malaysia untuk menjadi negara bebas pelepasan gas hijau.
Tambahnya, keadaan itu memerlukan organisasi untuk beralih kepada model perniagaan lestari yang baharu, menyelaraskan amalan sedia ada, menggunakan teknologi dan mempertimbangkan pensijilan serta usaha yang relevan terhadap kemungkinan gangguan berkaitan iklim.
"Ini juga akan mencipta permintaan yang signifikan untuk dana hijau dan peralihan dalam tahun-tahun akan datang," katanya.
Beliau berkata, dengan pertambahan usia penduduk Malaysia di mana 40% populasi dijangka berumur 55 tahun atau lebih menjelang 2040, keadaan itu juga bermakna perubahan diperlukan dalam pasaran tenaga kerja, penjagaan kesihatan dan jaringan keselamatan sosial, yang semuanya mempunyai kesan terhadap untuk masa depan kewangan di Malaysia.- DagangNews.com