Aeon Bank, Universiti Malaya jalin kerjasama rapatkan jurang ahli akademik-industri | DagangNews Skip to main content

Aeon Bank, Universiti Malaya jalin kerjasama rapatkan jurang ahli akademik-industri

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Okt - Bank digital Islamik pertama di Malaysia, Aeon Bank (M) Berhad (Aeon Bank), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan universiti awam terulung di negara, Universiti Malaya (UM) bagi memacu kerjasama industri. 

 

Perkongsian itu bermatlamat untuk merapatkan jurang antara ahli akademik dan industri, memberikan para pelajar kemahiran dan pengetahuan bermanfaat yang akan meletakkan mereka di landasan betul untuk berjaya dalam dunia digital yang semakin berkembang. 

 

Kerjasama selama dua tahun itu menyaksikan Aeon Bank dan Universiti Malaya berkolaborasi dalam projek berteraskan teknologi, termasuk penyelesaian perbankan digital, serta menyokong penubuhan hab pementoran inovasi teknologi kewangan (fintech).

 

Selain itu, kedua-dua pihak juga akan berkongsi kepakaran dalam cloud architechture, analitik data, optimisasi AI/ML dan program yang menambah baik pengalaman pelanggan dan pencegahan penipuan.

 

Perkongsian berkenaan turut mempromosikan nilai dan manfaat produk dan perkhidmatan perbankan digital patuh syariah dalam kalangan pelajar serta menyediakan akses kepada latihan industri bagi para pelajar menerusi latihan amali, bengkel peningkatan kemahiran serta program CSR.

 

Ia juga mendorong penggunaan aplikasi perbankan digital menerusi promosi di kampus untuk membantu para pelajar membiasakan diri dengan penyelesaian kewangan berteknologi.

 

MoU tersebut melambangkan usaha ke arah memacu kolaborasi industri-akademik antara Universiti Malaya dan rakan-rakan industri terpilih termasuk Aeon Bank, Calisto, China State Construction Engineering, Hirose Electric, Medika Natura, Kibing Solar, Nutrigene Modern Sciences, Petron, PMB Silicon, Prasarana Malaysia dan Tomei Gold & Jewellery.

 

Pada majlis menyampaian MoU di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Aeon Bank diwakili oleh Timbalan CEO dan Ketua Pegawai Pengurusan Korporat, Tsutomu Kamagata di samping Ketua Pegawai Strategi dan Ketua Perbankan Peribadi, Ajith Jayaram, manakala UM diwakili Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ir. Dr. Ramesh Singh Kuldip Singh.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Bank (M) Berhad, Raja Teh Maimunah berkata, digitalisasi merupakan masa hadapan sektor kewangan, maka MoU itu akan memacu sinergi dinamik antara Aeon Bank dan Universiti Malaya yang akan memberi manfaat kepada ribuan pelajar. 

 

"Ia akan membuka peluang yang lebih luas untuk meneroka program khusus teknologi dan inisiatif kewangan patuh syariah, di samping menggandakan inisiatif literasi kewangan bersama para pelajar. 

 

"Kesemua ini adalah pemacu utama bagi memperkasakan generasi yang lebih inklusif serta berdaya saing yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Prof. Ir. Dr. Ramesh Singh menekankan komitmen bersama untuk memajukan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan dan kajian inovatif, geran, pembangunan pelajar, latihan kakitangan, biasiswa, serta program berasaskan komuniti. 

 

"Perkongsian yang terjalin melalui perjanjian ini akan meningkatkan keupayaan penyelidikan kami, sambil membuka jalan untuk penemuan yang akan memberdayakan pelajar kami dan memberi manfaat kepada masyarakat. 

 

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemain industri atas komitmen mereka," ujarnya. - DagangNews.com