AirAsia lancar program “APU Off”, kurangkan pelepasan karbon di lapangan terbang | DagangNews Skip to main content

AirAsia lancar program “APU Off”, kurangkan pelepasan karbon di lapangan terbang

Unit kombo yang menggabungkan penggunaan Unit Kuasa Darat (GPU) dan Unit Penyaman Udara (ACU) digunakan bagi menggantikan Unit Kuasa Bantuan (APU) bagi mengurangkan pelepasan karbon di lapangan terbang semasa pesawat berada di darat.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Okt - AirAsia hari ini mengumumkan inisiatif baharu bagi mengurangkan pelepasan karbon di lapangan terbang melalui pengenalan teknologi sokongan darat terkini di hab utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2.

 

AirAsia dan Smart Airport Systems (SAS) memperkenalkan penggunaan Unit Kuasa Darat (GPU) dan Unit Penyaman Udara (ACU) bagi membekalkan kuasa elektrik serta penyaman Udara kepada pesawat ketika di darat bagi menggantikan Unit Kuasa Bantuan (APU) yang kurang efisyen dari segi kos, pelepasan karbon kerana dikuasakan oleh bahan api turbin penerbangan.

 

Unit kombo itu merupakan sebahagian daripada rangkaian inovasi peralatan darat berprestasi tinggi SAS yang menawarkan rumusan kepada syarikat penerbangan bagi mengurangkan penggunaan bahan api di darat dan pelepasan karbon. 

 

Melalui pengurangan penggunaan APU, AirAsia dijangka dapat mengurangkan kos operasi dan pelepasan CO2 sebanyak 90% pada kadar penggunaan optimum, sekali gus mengurangkan pelepasan Skop 1 dalam operasinya. 

 

Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan AirAsia Aviation Group, Kesavan Sivanandam berkata, penggunaan unit kombo yang cekap tenaga itu menawarkan peluang kepada syarikat penerbangan seperti AirAsia untuk mengurangkan pelepasan karbon memandangkan mereka beroperasi di negara berkelembapan tinggi.

 

airasia
Kesavan Sivanandam

 

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat beralih kepada GPU konvensional kerana ia tidak mempunyai fungsi penyejukan kabin yang diperlukan untuk keselesaan pelanggan.

 

"Penerapan teknologi Unit Kombo SAS menegaskan komitmen AirAsia terhadap kelestarian dan mewakili langkah yang dikenal pasti dalam Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Penerbangan oleh Kementerian Pengangkutan yang dilancarkan pada bulan lepas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Majlis itu turut disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

 

Melalui demonstrasi yang dilakukan, SAS membuktikan bahawa unit kombo itu boleh disambungkan dan diaktifkan dalam masa kurang daripada dua minit sebaik sahaja pesawat tiba di pintu masuk semasa transit.  

 

AirAsia akan mula menggunakan empat unit kombo daripada SAS mulai bulan ini dan berharap untuk menambah lebih banyak unit di KLIA 2 dan di semua hab domestik utama menjelang akhir tahun 2025. 

 

airasia
Amaury Papillault

 

Melalui penggunaan sepenuhnya, Unit Kombo ini dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon AirAsia di darat sebanyak 20,000 tan CO2 setiap tahun.  

 

Sementara itu, Pengarah Serantau SAS, Amaury Papillault berkata, pihaknya menjadi peneraju dalam melaksanakan inisiatif ‘APU Off’ selama lebih daripada 20 tahun dan sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan AirAsia dalam usaha mengurangkan karbon di darat. 

 

"Komuniti penerbangan telah lama menyedari peranan penting penutupan APU dalam mengurangkan pelepasan karbon pesawat di lapangan terbang. 

 

"Melalui inisiatif  penggunaan unit kombo ini, pengurangan pelepasan APU menjadi langkah mudah yang boleh diambil oleh semua syarikat penerbangan sebagai sebahagian daripada program penyahkarbon mereka," katanya.- DagangNews.com