KUALA LUMPUR 24 Sept - AirAsia X Bhd akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 16 Oktober 2024 bagi pemegang saham mengundi cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti Capital A Bhd dalam perniagaan penerbangan AirAsia Aviation Group Limited dan AirAsia Bhd.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, cadangan pengambilalihan itu ditetapkan untuk membawa kedua-dua operasi jarak pendek dan jarak sederhana di bawah satu kumpulan penerbangan, mewujudkan rangkaian yang lebih cekap dan meluas bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat untuk perjalanan udara tambang rendah.
Pekeliling kepada pemegang saham akan dihantar, memberikan mereka pandangan terperinci terhadap cadangan pengambilalihan.
Pengerusi AirAsia X, Datuk Fam Lee Ee berkata, EGM itu menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan AirAsia X ke arah melengkapkan pemerolehan transformatif.
Beliau berkata, pihaknya teruja untuk melibatkan diri dengan pemegang saham syarikat bagi meneruskan langkah strategik itu bagi menjadikan AirAsia kalis masa hadapan untuk pertumbuhan jangka panjang yang mampan.
"Dengan menggabungkan kedua-dua operasi jarak dekat dan sederhana di bawah entiti yang diperkukuh, kami menjangkakan kumpulan akan mencapai sinergi bermakna yang akan meningkatkan kecekapan kos dan operasi, mengembangkan kehadiran pasaran kami serta meningkatkan prestasi kewangan, akhirnya memberi manfaat kepada pelanggan kami, pemegang saham dan komuniti kumpulan syarikat penerbangan AirAsia," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, AirAsia X dan AirAsia mempunyai pengalaman luas dalam operasi berbilang hab dan cadangan pengambilalihan itu akan meletakkan pihaknya untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat untuk perjalanan udara dengan lebih cekap.
Beliau berkata, penjanaan semula dan pengembangan terancang armada syarikat penerbangan, bersama-sama keupayaan mereka mengoptimumkan operasi berdasarkan permintaan, bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ke destinasi baharu tetapi juga menyokong pelancaran laluan merentasi pelbagai benua, sambil mengekalkan komitmen kumpulan untuk menyediakan perkhidmatan kos rendah.
"EGM ini akan menjadi detik penting bagi pemegang saham kami untuk membantu membentuk hala tuju masa depan AirAsia X.
"Cadangan pengambilalihan dibayangkan untuk meletakkan syarikat pada kedudukan yang kukuh untuk mengukuhkan operasi syarikat penerbangan dan perniagaannya, meningkatkan keupayaannya untuk mendepani landskap penerbangan yang sentiasa berkembang dan memenuhi permintaan pasaran pelancongan global yang berkembang pesat," katanya. - DagangNews.com