MADEIRA 25 Nov - AirAsia X (AAX) sekali lagi memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh dunia apabila memenangi Anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Jarak Jauh Terbaik Dunia untuk tahun kedua berturut-turut di World Travel Awards (WTA) Grand Final 2024.
AAX diiktiraf sebagai pemenang dalam kategorinya, mengatasi lima syarikat penerbangan lain selepas memperoleh undian tertinggi daripada pemain industri, pengembara dah ahli profesional dari seluruh dunia.
Pengiktirafan itu menunjukkan kecemerlangan AAX pada 2024, membuktikan syarikat berjaya memulihkan operasi mereka.
Pada suku ketiga tahun 2024, syarikat mencapai faktor muatan penumpang yang kukuh sebanyak 84 peratus, penambahan penumpang sebanyak 34 peratus dan pertumbuhan kapasiti dari tahun ke tahun sebanyak 27 peratus.
Selain itu, ia juga melancarkan penerbangan terus ke Nairobi, Kenya menandakan kemasukan pertama AAX ke Afrika dan menawarkan lebih banyak sambungan jarak jauh ke destinasi baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, pengiktirafan tersebut merupakan pencapaian penting bagi AirAsia X dalam usaha untuk terus berkembang dan membina pemulihan operasi yang kukuh.
Katanya, dengan penambahan pesawat yang kembali beroperasi, syarikat berjaya memperluaskan rangkaian ke Afrika melalui penerbangan terus ke Nairobi baru-baru ini dan pihaknya teruja untuk memperkenalkan lebih banyak destinasi menarik pada masa akan datang.
"Integrasi kami dengan Kumpulan AirAsia pada masa akan datang juga membuktikan kekuatan kerjasama di mana ia membolehkan kami menawarkan sambungan lebih baik, nilai lebih unggul, dan prestasi kewangan lebih berdaya tahan sambil menawarkan lebih banyak peluang kepada penumpang untuk mengembara lebih jauh dengan tambang berpatutan.
"Kami berterima kasih kepada para penumpang dan rakan industri atas pengiktirafan ini dan tetap komited untuk mentakrifkan semula perjalanan jarak sederhana dan jauh di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan.
Pengasas dan Presiden World Travel Awards, Graham Cooke berkata, AirAsia X telah menetapkan penanda aras yang baharu untuk syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh dengan menggabungkan rangkaian laluan yang menarik dan eksklusif bersama kecemerlangan operasi yang konsisten dan perkhidmatan yang unggul.
"Syarikat penerbangan ini terus meneroka peluang perjalanan jarak jauh dengan tambang berpatutan, menetapkan penanda aras untuk diikuti oleh syarikat penerbangan lain, menjadikan mereka benar-benar layak untuk menerima anugerah ini," ujarnya.
Diwujudkan pada tahun 1993, World Travel Awards diiktiraf sebagai satu daripada anugerah paling berprestij, komprehensif dan utama dalam kecemerlangan syarikat merentasi sektor perjalanan, pelancongan dan hospitaliti. - DagangNews.com