KUALA LUMPUR 18 Nov - Syarikat perlombongan emas Sabah, Bahvest Resources Bhd berhasrat menukar syarikat kepada Aumas Resources Bhd.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat yang berpangkalan di Sabah itu berkata nama baharu yang dicadangkan itu telah diluluskan untuk digunakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 8 November 2024,
Katanya, nama itu dikhaskan sehingga 7 April 2025 untuk dituntut.
Cadangan pertukaran nama syarikat itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Katanya, pekeliling dengan butiran cadangan perubahan itu akan dihantar kepada pemegang saham dalam masa terdekat.
Pada Oktober lalu, Kumpulan itu memeterai perjanjian prospek eksklusif dan kontrak kerja dengan Aurelius Borneo Mining Sdn Bhd, yang terlibat dalam perlombongan emas.
Pencarian lokasi merupakan tahap awal analisis geologi sesebuah kawasan dalam pencarian emas.
Menurut terma-terma penting perjanjian tersebut, Bahvest melalui anak syarikat penuhnya, Wullersdorf Resources Sdn Bhd (WRSB), akan berkolaborasi secara eksklusif dengan Aurelius untuk meneroka, menjalankan prospeksi, mengambil sampel, melakukan tinjauan dan menggerudi bijih yang mengandungi emas di Mt Andrassy di Tawau, Sabah, merangkumi kawasan seluas 18,000 hektar. - DagangNews.com