Belanjawan 2025 dijangka imbangi pengukuhan fiskal dan pertumbuhan KDNK, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2025 dijangka imbangi pengukuhan fiskal dan pertumbuhan KDNK, kata HLIB

KUALA LUMPUR 2 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Belanjawan2025 akan menepati laluan pengukuhan fiskal secara bertanggungjawab, dengan sasaran defisit fiskal yang lebih rendah daripada 4.3% kepada 3.9%.

 

Katanya, pada masa sama, bajet itu akan menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penjimatan subsidi dan peningkatan aliran hasil.

 

Firma penyelidikan itu berkata, aliran hasil kerajaan baharu yang diperkenalkan tahun ini sewajarnya mencatatkan kesan setahun penuh pada 2025.

 

Ia termasuk cukai perkhidmatan yang lebih tinggi (2024: RM3.5 bilion), cukai ke atas barang bernilai rendah (RM200 juta), cukai keuntungan modal ke atas saham tidak tersenarai (RM800 juta) dan langkah e-invois baharu (RM2 bilion).

 

Selain itu, pada 2025, kadar cukai minimum global sebanyak 15% akan dilaksanakan sejajar dengan piawaian antarabangsa, manakala pelaksanaan cukai barang bernilai tinggi (HVGT) yang ditangguhkan sebelum ini mungkin juga dilaksanakan.

 

“Kerajaan dijangka meneruskan usaha rasionalisasi subsidi, mungkin melibatkan penamatan subsidi elektrik (2024: RM4.5 bilion), memperluas rasionalisasi subsidi diesel untuk melibatkan Malaysia Timur (2024: RM4 bilion) dan memperkenalkan penyasaran subsidi (berbanding dengan pemberian subsidi secara menyeluruh) bagi RON95.

 

“Secara kolektif, penjimatan daripada pengurangan subsidi dan hasil yang lebih tinggi dijangka digunakan untuk membiayai langkah dasar yang disasarkan kerajaan seperti kenaikan gaji kakitangan awam (antara 16.8% hingga 42.7%; kos sekitar RM10 bilion) dan pemberian bantuan tunai dan Budi Madani,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini, lapor Bernama.

 

HLIB menjangkakan perbelanjaan pembangunan (DE) berjumlah RM85 bilion bagi 2025 apabila jumlah pada 2024 dijangka disemak turun daripada RM90 billion kepada RM80 bilion, berikutan perbelanjaan yang lebih rendah pada separuh pertama 2024.

 

“Sama seperti belanjawan lepas, kami menjangkakan peningkatan pemberian bantuan tunai ditambah dengan langkah seperti Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kenaikan gaji kakitangan awam yang akan dilaksanakan, ini sewajarnya positif untuk sektor runcit dan jenama kereta nasional.

 

“Bersedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 (sasaran tinggi 35.6 juta pelancong), kami menjangkakan peruntukan lebih tinggi untuk pelancongan memberi manfaat kepada sektor seperti penerbangan, Genting Bhd, penjagaan kesihatan dan amanah pelaburan hartanah (REIT) pusat beli-belah,” katanya.

 

HLIB berkata, mengambil petunjuk daripada pelancaran Zon Kewangan Khas di Forest City baru-baru ini, ada kemungkinan beberapa inisiatif berkaitan zon ekonomi khas diumumkan semasa Belanjawan 2025, yang akan memberi kesan positif terhadap hartanah dan pembinaan.

 

"Selain itu, harapan belanjawan lain termasuk DE dikekalkan untuk memberi manfaat kepada pembinaan, peruntukan penjagaan kesihatan yang lebih tinggi untuk mencapai 5% daripada sasaran KDNK jangka panjang, pengembangan/lanjutan inisiatif kenderaan elektrik sedia ada, semakan levi keuntungan luar biasa bagi minyak sawit adalah munasabah dan tiada kenaikan cukai untuk sektor tembakau, minuman keras dan perjudian," katanya. - DagangNews.com