Belanjawan 2025: SST lebih progresif dilaksanakan bermula 1 Mei 2025 | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2025: SST lebih progresif dilaksanakan bermula 1 Mei 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara lebih progresif tetapi memberi jaminan pelaksanaannya tidak akan membebankan rakyat bermula 1 Mei 2025.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaannya bertujuan menambah hasil negara dan meluaskan asas percukaian sedia ada.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, cukai itu bagaimanapun tidak akan dikenakan ke atas barang makanan asas yang digunakan rakyat.

 

"Cukai Jualan akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barangan premium termasuk ikan salmon dan avocado.

 

"Skop cukai perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan kelangsungan perniagaan, kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta industry berkaitan 

 

Katanya lagi, bagi memastikan kelangsungan perniagaan, kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan.

 

“Peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025.

 

“Sebahagian hasil akan dimanfaat untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat terbanyak selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan,” katanya.- DagangNews.com