KUALA LUMPUR 21 Nov - Phillip Capital menjangkakan kontrak baharu Binastra Corp Bhd daripada Exsim Jalil Link Sdn Bhd dijangka menjana untung bersih antara RM15 juta sehingga RM18 juta sepanjang tempoh itu.
Firma penyelidikan itu berkata, kontrak RM256.5 juta itu melibatkan reka bentuk, pembinaan, penyiapan, ujian dan pentauliahan kerja-kerja kejuruteraan bagi sebuah pusat data di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Katanya, jumlah kontrak Binastra sehingga kini (YTD) mencecah RM2.7 billion, mewakili 90% daripada anggaran penambahan buku pesanan RM3 bilion bagi FY25.
"Termasuk kontrak yang dianugerahkan itu buku pesanan Binastra dijangka meningkat sehingga RM3.5 bilion.
"Ini mencerminkan liputan kukuh 8.2 kali pada hasil FY24 dan memberikan keterlihatan pendapatan dalam tempoh empat tahun akan datang.
"Kami menganggarkan EXSIM menyumbang 70% kepada buku pesanan semasa.
"Kami kekal positif terhadap projek Binastra disokong oleh rancangan pengembangan di Johor dan Sabah yang dijangka menyokong momentum pengisian semula buku tempahan yang berterusan menuju FY26," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Sementara itu, firma itu mengekalkan ramalan pendapatan Binastra berikutan kemenangan kontrak daripada EXISM.
"Kami terus menyukai Binastra kerana kelebihan daya saingnya yang kukuh sebagai kontraktor pilihan dan margin keuntungan yang tinggi," katanya.
"Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas Binastra dengan harga sasaran (TP) RM2.15, dengan sasaran pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 18 kali pada FY26. - DagangNews.com