KUALA LUMPUR 28 Okt - BlackBerry Limited memilih Malaysia sebagai ibu pejabat keselamatan siber bagi rantau Asia Pasifik.
Syarikat tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan, pejabat bahagian keselamatan siber BlackBerry itu ditempatkan di Cyberjaya dan kini sudah beroperasi sepenuhnya.
Perkembangan baharu terbabit memperlihatkan komitmen berterusan BlackBerry terhadap Malaysia, selepas pengumuman perjanjian keselamatan siber yang bersejarah pada November 2023.
{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/7430761148699430151.jpg?itok=_ZGmQnb7","video_url":"https://www.tiktok.com/@dagangnews/video/7430761148699430151?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7239999029697168898","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}
BlackBerry bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber, sebuah kemudahan latihan bertaraf dunia yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyatakan, ibu pejabat serantau itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Malaysia, tetapi juga membolehkan Malaysia memanfaatkan penyelesaian keselamatan siber canggih yang ditawarkan oleh BlackBerry.
Naib Presiden Keselamatan Siber BlackBerry di APAC, Tash Stamatelos berkata, Malaysia adalah pasaran yang penting secara strategik bagi syarikat tersebut.
"Ketika negara ini menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, kami menghargai usaha Malaysia dalam memajukan transformasi digital dan kerjasama serantau dalam bidang seperti keselamatan siber, serta pelaburan berterusan dalam kemahiran, inovasi dan infrastruktur untuk memajukan ekonominya.
"Ini membina ekosistem yang dipercayai dan menarik bagi syarikat global seperti BlackBerry untuk melabur dan beroperasi di sini, dan kami teruja dengan perjalanan kami ke depan dengan Malaysia sebagai hab serantau APAC kami," katanya.
Pasukan yang beroperasi di pejabat BlackBerry di Malaysia merangkumi bahagian jualan, pemasaran, penyelidikan ancaman, sokongan teknikal, perkhidmatan profesional, pentadbiran dan pengurusan, serta beberapa jurulatih keselamatan siber berkemahiran yang bersedia untuk menyokong pertahanan siber dari Malaysia dan kawasan sekitarnya.
BlackBerry menerima anugerah Penghargaan Inovasi Keselamatan Siber (Perkhidmatan) di Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2024 pada 8 Ogos lalu, sebagai pengiktirafan terhadap komitmennya dalam membina kapasiti dan kemahiran, meningkatkan ketahanan siber, serta menyokong perjalanan Malaysia untuk menjadi negara digital yang selamat. - DagangNews.com
{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/I5lqY3I2Pvo.jpg?itok=ujjLyfR0","video_url":"https://youtu.be/I5lqY3I2Pvo","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}