Capital A Berhad di peringkat akhir untuk keluar daripada status PN17 - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Capital A Berhad di peringkat akhir untuk keluar daripada status PN17 - PublicInvest

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Okt - Public Investment Bank (PublicInvest) menaikkan saranan ke atas Capital A Bhd kepada 'Outperform' dengan menetapkan harga sasaran (TP) pada RM1.57 sesaham. 

 

Kenaikan tersebut berdasarkan cadangan pelan penyelarasannya yang menyasarkan untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

 

Firma penyelidikan itu positif terhadap pelan penyelerasan Capital A kerana ia menggariskan laluan yang jelas untuk mengubah operasinya.

 

"Selain itu, kumpulan itu dijangka mendapat manfaat daripada faktor yang menggalakkan seperti kenaikan ringgit, permintaan perjalanan udara yang teguh dan harga bahan api yang lebih rendah," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Pelan penyelerasan yang dikemukakan oleh Capital A melibatkan pengurangan modal sehingga RM6 bilion bagi menolak kerugian terkumpul kumpulan. 

 

Ia juga menyasar untuk memudahkan Capital A keluar daripada status PN17, membolehkan pertumbuhan masa depan dan pengembangan strategik, berikutan pelupusan perniagaan penerbangannya kepada AirAsia X (AAX).

 

ARTIKEL BERKAITAN : Capital A umumkan pengurangan modal sehingga RM6 bilion

 

PublicInvest berkata, modal saham Capital A yang akan dikurangkan bergantung kepada kerugian terkumpul dan hasil modal saham terbitan syarikat selepas selesai pelupusan perniagaan penerbangan kepada AAX.

 

"Kami telah mengaitkan penilaian RM6.8 bilion kepada perniagaan penerbangan dan RM4.8 bilion kepada perniagaan lain berdasarkan transaksi yang dilakukan sebelum ini.

 

"Walaupun perjalanan pemulihan perniagaan syarikat masih jauh, kami optimis terhadap prospek Capital A," katanya. - DagangNews.com