Carlo Rino meterai taja jamin dengan TA Securities, bakal disenaraikan di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Carlo Rino meterai taja jamin dengan TA Securities, bakal disenaraikan di Pasaran ACE

(Dari kiri) Pengarah Eksekutif Carlo Rino Group Berhad, Ong Boon Huat; Pengarah Urusan Kumpulan Carlo Rino Group Berhad, Datuk Seri Chiang Fong Yee; Pengarah Eksekutif Operasi TA Securities Holdings Berhad, Tah Heong Beng dan Naib Presiden Kanan Kewangan Korporat, TA Securities Holdings Berhad, Wong Chan Han
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt - Carlo Rino Group menandatangani perjanjian taja jamin dengan TA Securities Holdings Berhad (TA Securities) bagi memindahakan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Pengedar dan peruncit beg tangan, kasut dan aksesori Wanita itu berkata, pelaksanaan pemindahan itu melibatkan terbitan awam permulaan (IPO) lebih 171 juta, mewakili  17.58% modal sahamnya.


 
"TA Securities akan menaja jamin lebih 49 juta saham terbitan mewakili 5.08% daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan, lebih 48 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian dan 800,000 saham akan  dilanggan oleh Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Syarikat.

 

"Selain itu, baki lebih 122 juta saham , mewakili 12.50% daripada modal saham terbitan syarikat akan disediakan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI).

 

Katanya, hasil daripada IPO akan digunakan untuk pembinaan dan pemasangan butik perdana baharu di Jalan Imbi, Kuala Lumpur dan kemudahan lain, termasuk teknologi maklumat (IT) dan sistem keselamatan; pengubahsuaian butik dan kaunter di gedung jabatan dan penyelenggaraan infrastruktur IT.

 

Baki hasil akan digunakan untuk modal kerja Kumpulan dan perbelanjaan IPO.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Carlo Rino, Datuk Seri Chiang Fong Yee berkata, dengan hasil IPO itu, kumpulan merancang untuk mengembangkan butik utama dan meningkatkan infrastruktur operasi. 

 

Sementara itu, Carlo Rino dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada suku keempat 2024. 

 

TA Securities ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan IPO. - DagangNews.com