KUALA LUMPUR 6 Nov - Keputusan kerajaan memperkenalkan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing bertujuan mengatasi kebergantungan terhadap kumpulan berkenaan, sambil mempromosikan keadilan dalam pasaran buruh tempatan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, model pasaran buruh sedia ada lebih memihak kepada sistem gaji rendah yang tidak memberikan manfaat kepada pekerja tempatan.
Jelasnya, sumbangan wajib itu akan membantu menyeimbangkan layanan terhadap buruh asing dan tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada pekerja asing yang lebih murah yang telah menekan gaji pekerja tempatan.
"Apabila buruh asing diwajibkan untuk membuat caruman kepada KWSP, kita sebenarnya secara tidak langsung berusaha untuk menyamakan buruh asing dengan buruh tempatan, supaya majikan tidak terlalu memilih untuk mengambil buruh asing.
“Ini bukan bermaksud kita tidak suka buruh asing. Saya percaya, mereka membantu pertumbuhan negara, tetapi tidak boleh mengorbankan pekerjaan rakyat tempatan," katanya dalam sesi dialog di Persidangan ESG dan Kelestarian 2024 yang dianjurkan oleh CGS International Securities Malaysia.
Katanya, langkah itu juga merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja asing dan memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi untuk masa depan.
"Kami telah melihat banyak penambahbaikan dari segi kesejahteraan pekerja asing di negara ini, termasuk mematuhi amalan baik yang ditetapkan oleh organisasi buruh antarabangsa," ujar beliau.
Sumbangan KWSP yang wajib akan dilaksanakan secara berperingkat, mengikut pengumuman Belanjawan 2025 bulan lalu, dengan garis masa pelaksanaannya masih belum diumumkan.
Amir berkata, KWSP sedang merangka strategi pelaksanaan berperingkat, membolehkan masa untuk majikan dan pekerja menyesuaikan diri dengan keperluan baharu itu.
Jelasnya, butiran pelaksanaannya akan diumumkan pada 2025.
"Kami bersikap praktikal tentang cara kami melaksanakannya, kerana kami tidak mahu berlaku masalah. Perubahan polisi perlu dibuat seperti yang diumumkan kerajaan," katanya. - DagangNews.com