CGS International tidak tolak kemungkinan Malaysia terlepas sasaran defisit fiskal 2025 | DagangNews Skip to main content

CGS International tidak tolak kemungkinan Malaysia terlepas sasaran defisit fiskal 2025

KUALA LUMPUR 4 Okt - CGS International tidak menolak kemungkinan Malaysia terlepas sasaran defisit fiskal 2025.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan keseluruhan defisit fiskal 2025 berada pada RM77.5 bilion atau 3.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), peningkatan daripada anggaran RM84 bilion atau 4.3% daripada KDNK tahun ini, walaupun berpotensi meleset sasaran awal 3% hingga 3.5% dalam 2025.

 

Mereka juga menjangkakan peningkatan defisit datang daripada pertumbuhan hasil yang lebih tinggi sedikit sebanyak 1.1% kepada RM314 bilion (2024: RM310 bilion).

 

"Kami mengandaikan kenaikan cukai langsung akan menyumbang sedikit, walaupun kutipan mungkin pada paras minimum dan kami percaya pertumbuhan hasil akan dating daripada pengembangan aktiviti ekonomi.

 

"Kami juga menetapkan kenaikan dalam perbelanjaan mengurus sebanyak 2.9% tahun ke tahun kepada RM314 bilion (2024: RM305 bilion) dan pengurangan perbelanjaan besar yang datang daripada perbelanjaan subsidi yang lebih rendah. 

 

"Bagaimanapun, sebahagian daripada penjimatan itu mungkin akan diimbangi oleh perbelanjaan yang lebih tinggi untuk emolumen berikutan semakan dalam gaji penjawat awam,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Selain itu, terdapat potensi penurunan perbelanjaan pembangunan kepada RM78 bilion (2024: RM90 bilion) juga dijangka oleh firma penyelidikan itu, berikutan keperluan untuk mengekalkan sasaran defisit serta sumber hasil yang terhad.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME), Carmelo Ferlito berkata, kemungkinan Malaysia melepasi sasaran defisit fiskal tahun ini adalah sah, melihat kepada saiz belanjawan yang semakin meningkat pada tahun-tahun sebelumnya.

 

“Mencapai belanjawan seimbang seharusnya menjadi sasaran Putrajaya untuk Bajet 2025. Penyatuan defisit beberapa tahun kepada hutang adalah peralihan beban kepada generasi akan datang, dari segi ekonomi yang lebih perlahan dengan peluang yang lebih kecil. Dalam jangka masa pendek, lebihan perbelanjaan bermakna inflasi.

 

"Oleh itu, keperluan untuk pembaharuan perlembagaan yang memperkenalkan belanjawan seimbang wajib diperkenalkan," katanya kepada StarBiz, hari ini.

 

Beliau berkata, pembaharuan cukai yang sistematik dan menyeluruh juga harus diutamakan dalam bajet akan datang.

 

Katanya, kebanyakannya terdapat penambahan cukai baharu dan penyatuan yang menunjukkan hala tuju kerajaan dalam hal fiskal diperlukan.

 

“Saya juga ingin melihat lebih banyak penekanan terhadap tanggungjawab fiskal. Walaupun kerajaan telah menambah langkah untuk meningkatkan hasil, pembaharuan yang besar untuk mengurangkan perbelanjaan masih belum dilihat,” katanya.

 

Sementara itu, pakar ekonomi Geoffrey Williams berkata, kemungkinan Bajet 2025 akan menjadi lebih besar kerana komitmen yang telah diumumkan termasuk gaji dan pencen perkhidmatan awam yang lebih tinggi serta peruntukan kepada Sabah dan Sarawak.

 

“Pada masa yang sama, perlu ada penjimatan daripada penguranan pembaziran, ketirisan dan rasuah serta hasil tambahan daripada pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, kami menjangkakan perbelanjaan lebih tinggi sedikit sejajar dengan inflasi dan hasil lebih tinggi untuk membayarnya dari segi perbelanjaan mengurus,” katanya.

 

Williams berkata, mungkin terdapat perbelanjaan pembangunan yang lebih rendah dan juga beberapa projek yang dibiayai oleh perkongsian awam-swasta.

 

“Ini akan mengurangkan defisit dan peratusan defisit kepada KDNK juga akan lebih rendah kerana pertumbuhan KDNK lebih tinggi. Semua ini adalah selaras dengan dasar fiskal yang bertanggungjawab di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal. Kami juga akan berminat untuk melihat sama ada terdapat pengumuman mengenai Akta Perolehan Kerajaan.

 

"Selain itu, kami juga melihat komitmen berkaitan rasionalisasi subsidi dan penjimatan daripada langkah itu. Gaji minimum baharu dan skop dasar gaji progresif untuk meningkatkan pendapatan dan menangani kos sara hidup juga merupakan perkara menarik,” katanya.

 

Ketegangan geopolitik yang berpunca daripada pelbagai konflik perang yang berterusan dan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China masih tinggi.

 

Baru-baru ini, AS mengumumkan tarif baharu yang besar ke atas China. Ini menimbulkan kebimbangan sama ada langkah Washington ke atas China akan menjejaskan ekonomi Malaysia, memandangkan hubungan perdagangan negara itu dengan China.

 

Sementara itu, harga minyak meningkat lebih tinggi berikutan kebimbangan gangguan bekalan besar, apabila konflik di Asia Barat semakin memuncak. Ferlito berkata, tarif baharu ini boleh menjejaskan Malaysia secara tidak langsung.

 

“Pertama, China mungkin melihat pasaran eksport yang berbeza. Untuk makluman, Malaysia sudah mengimport dari China lebih daripada apa yang dieksportnya ke ekonomi China.

 

“Kedua, Malaysia boleh menjadi tempat di mana proses transformasi berlaku supaya produk China boleh sampai ke AS secara tidak langsung. Ketiga, Malaysia boleh cuba menggantikan China sebagai pengilang dan pengeksport,” katanya. - DagangNews.com