CIMB dipilih pemenang Transformasi Digital dan Infrastruktur Awan Hibrid pada Anugerah Inovasi Red Hat APAC 2024 | DagangNews Skip to main content

CIMB dipilih pemenang Transformasi Digital dan Infrastruktur Awan Hibrid pada Anugerah Inovasi Red Hat APAC 2024

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Dis - Penyedia rumusan sumber terbuka terkemuka dunia, Red Hat Inc. (Red Hat) memilih CIMB Bank Malaysia (CIMB) sebagai pemenang bagi kategori Transformasi Digital dan Infrastruktur Awan Hibrid pada Anugerah Inovasi Red Hat APAC 2024 susulan penggunaan rumusan Red Hat oleh bank itu untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang.

 

Bagi memperkukuhkan operasi, CIMB mengguna pakai Red Hat OpenShift bagi mengurangkan gangguan yang berpotensi dan meningkatkan keupayaan mereka untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan pemegang saham dengan berkesan. 

 

Strategi itu dibuat sebagai sebahagian perubahan ketika landskap kewangan terus berkembang pesat, bertujuan meningkatkan ketahanan operasi dan merealisasikan kestabilan sistem.

 

Ketua Pegawai Teknologi dan Data Kumpulan CIMB Bank Malaysia, Ros Aziah Mohd Yusoff berkata, pihaknya berjaya melaksanakan perubahan teknologi menerusi penggunaan Red Hat OpenShift.

 

"Platform yang diseragamkan ini bukan sahaja mengurangkan kos dan risiko di peringkat organisasi, tetapi juga membuka jalan bagi inovasi berterusan dan pertumbuhan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Anugerah Inovasi Red Hat APAC 2024 meraikan pelanggan yang memanfaatkan kuasa teknologi sumber terbuka untuk mendorong perubahan dan inovasi. 

 

Sebanyak 31 pemenang dari 11 negara diiktiraf kerana menggunakan rumusan Red Hat dalam mengatasi cabaran berganda menguruskan kos infrastruktur yang semakin meningkat serta keperluan perniagaan yang berkembang. 

 

Pemenang-pemenang dipilih berdasarkan penggunaan luar biasa rumusan Red Hat, yang menunjukkan sumbangan penting terhadap objektif perniagaan mereka. 

 

Setiap organisasi menunjukkan perubahan mengguna pakai teknologi sumber terbuka, mempelopori kemajuan dalam proses perniagaan, meningkatkan produktiviti, memupuk inovasi dan menguatkan ketahanan dalam menghadapi cabaran. 

 

Kisah kejayaan mereka menekankan peranan penting Red Hat dalam memberdayakan perusahaan di seluruh rantau Asia Pasifik untuk mencapai pertumbuhan luar biasa melalui penggunaan strategik rumusan sumber terbuka.

 

Menurut Red Hat 2024 Global Tech Trends, perniagaan di rantau Asia Pasifik memerlukan beberapa komponen bagi memastikan keberkesanan operasi seperti pembangunan aplikasi berasaskan awan, memperbaiki pengalaman pengguna digital dan mempercepat penghantaran aplikasi/perkhidmatan. 

 

Penemuan itu menekankan kepentingan rumusan inovatif dalam lima kategori utama anugerah yang menggambarkan bidang yang dapat memberdayakan organisasi untuk memandu arah cabaran perniagaan yang dihadapi hari ini iaitu Transformasi Digital, Infrastruktur Awan Hibrid, Pembangunan Awan-Natif, Automasi dan Ketahanan.

 

Naib Presiden Kanan dan Pengurus Besar APJC Red Hat, Marjet Andriesse berkata, walaupun dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu pada 2024, pihaknya telah menyaksikan pencapaian luar biasa oleh pelanggan-pelanggannya.

 

"Tahun ini, kami mengiktiraf langkah inovatif yang diambil oleh organisasi-organisasi ini di Anugerah Inovasi Red Hat APAC 2024 kerana mereka memanfaatkan teknologi canggih untuk memacu inisiatif perniagaan. 

 

"Sumber terbuka kekal menjadi kunci untuk membantu organisasi berdepan cabaran akan datang," ujarnya. - DagangNews.com