KUALA LUMPUR 9 Dis - Agensi fokal bagi ekosistem syarikat pemula Malaysia, Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), dinobatkan sebagai Startup Ecosystem Star for 2024 Best-in-class Startup Programs semasa Startup Ecosystems Awards (SES 2024), yang mengiktiraf entiti yang memacu inovasi dan keusahawanan di peringkat global.
Anugerah berprestij anjuran International Chamber of Commerce (ICC) dan Mind the Bridge tersebut diadakan di Paris, baru-baru ini.
Pencapaian Cradle bukan sahaja mengiktiraf prestasi agensi itu, tetapi juga meraikan komuniti syarikat pemula Malaysia dalam usaha sama untuk berdaya saing di peringkat global.
Anugerah tersebut memberi penekanan terhadap program-program berimpak tinggi yang memupuk pelaburan, membangunkan bakat dan menggalakkan kerjasama industri yang menjadi tonggak penting dalam membina ekonomi yang berkembang pesat dan berinovasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, anugerah berkenaan adalah milik semua pihak yang komited menjayakan keusahawanan Malaysia termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Cradle dan rakan korporat termasuk syarikat-syarikat pemula.
"Anugerah ini adalah bukti keupayaan, ketahanan dan kesungguhan usahawan di Malaysia yang terus giat berusaha seterusnya meningkatkan penanda aras inovasi di peringkat global.
"Pengiktirafan ini lebih daripada sekadar anugerah. Ia merupakan seruan untuk terus membangunkan ekosistem syarikat pemula bukan setakat di peringkat permulaan, tetapi juga berkembang dan berjaya," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pengiktirafan itu mengukuhkan komitmen Cradle untuk menjadikan Malaysia antara 20 ekosistem syarikat pemula terbaik dunia menjelang 2030.
Pengerusi Kehormat ICC, Maria Fernanda Garza, turut memuji sumbangan Cradle yang berperanan sebagai teras inovasi dan pertumbuhan dalam ekosistem syarikat pemula Malaysia.
"Melalui program pembiayaan dan pembangunan kapasiti, Cradle telah menjadi pemangkin untuk membimbing syarikat pemula peringkat awal, menyediakan bukan sahaja sokongan kewangan, tetapi juga panduan strategik untuk mengubah idea menjadi usaha niaga yang berimpak.
"ICC mengiktiraf komitmen berterusan Cradle dalam memperkasa dan mewujudkan persekitaran yang kukuh untuk keusahawanan, membuktikan bahawa sokongan serta dedikasi mampu membuka potensi tanpa batas untuk kemajuan ekonomi dan sosial," ujarnya.
ICC, sebuah organisasi perniagaan global yang mewakili lebih 45 juta syarikat di 170 negara, memainkan peranan penting dalam memajukan perdagangan antarabangsa dan inovasi.
Dengan kerjasama organisasi seperti Mind the Bridge, ICC merapatkan jurang antara syarikat pemula, korporat dan pembuat dasar untuk memacu pembangunan ekosistem di seluruh dunia.
Melalui perkongsian ilmu, pembangunan kapasiti dan kerjasama strategik, ICC dan Mind the Bridge membolehkan ekosistem untuk berkembang, memperkasa usahawan dan menggalakkan pertumbuhan yang mampan.
Usaha tersebut penting dalam mewujudkan hab inovasi saling berkait yang mendorong pertumbuhan ekonomi dan menangani cabaran global.
SES 2024 telah mengiktiraf 64 organisasi dari 36 negara termasuk ekosistem terkemuka di Eropah (47%), Asia (28%), Amerika Utara (12%), Afrika (5%), serta negara lain dari Oceania, Asia Barat dan Amerika Latin.
Sejak penubuhannya pada tahun 2003, Cradle telah membangun lebih 1,100 syarikat pemula, menyumbang lebih RM1 bilion secara kumulatif kepada impak KDNK.
Platform perdananya, MYStartup, telah menghubungkan lebih 4,000 syarikat pemula berdaftar dan menyokong lebih 17,000 individu serta organisasi sejak 2021.
Pencapaian itu mencerminkan dedikasi Cradle dalam membangunkan ekosistem syarikat pemula yang mampan dan dinamik. - DagangNews.com