KUALA LUMPUR 1 Nov - Deleum Bhd melantik bekas Pengarah Petronas, Ainul Azhar Ainul Jamal, sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dalam lembaga pengarahnya berkuat kuasa 1 November 2024, menurut pengumuman Deleum di Bursa Malaysia.
Beliau pernah berkhidmat di lembaga Petronas dari Mei 2018 hingga April 2023.
"Selain itu, beliau juga merupakan ahli lembaga pengasas Gentari, sebuah entiti milik penuh Petronas," jelas Deleum.
Sebelum itu, Ainul Azhar menghabiskan sebahagian besar kerjayanya di syarikat perkhidmatan minyak Amerika, Schlumberger.
Sepanjang 32 tahun perkhidmatannya di syarikat tersebut, beliau memegang pelbagai jawatan teknikal, pengurusan dan eksekutif di Australia, New Zealand, Indonesia, Malaysia, Perancis, Kanada dan United Kingdom, sebelum dilantik sebagai Pengerusi dan Pengarah di Schlumberger Malaysia.
Pada Julai 2024, beliau dilantik sebagai Pengarah Icon Offshore Bhd dan beliau juga kini berkhidmat sebagai Pengarah di Cetco Energy Services (M) Sdn Bhd dan Danau Selasih Sdn Bhd.
Saham Deleum ditutup meningkat lima sen atau 3.47% kepada RM1.49 pada waktu rehat tengah hari, meletakkan nilai kumpulan tersebut pada RM598.31 juta. - DagangNews.com