Dialog yakin dengan struktur perniagaannya bagi berdepan ketidaktentuan ekonomi | DagangNews Skip to main content

Dialog yakin dengan struktur perniagaannya bagi berdepan ketidaktentuan ekonomi

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt - Dialog Group Bhd kekal yakin terhadap struktur perniagaannya walaupun menghadapi tempoh ketidaktentuan ekonomi, turun naik harga minyak dan pergerakan mata wang.

 

Pengerusi Eksekutif Dialog, Tan Sri Ngau Boon Keat berkata, kumpulan sedang mempelbagaikan perkhidmatan minyak dan gas merentas perniagaan huluan, pertengahan dan hiliran dalam sektor tenaga. 

 

"Kami akan terus mengembangkan perniagaan huluan sedia ada melalui  pembangunan semula dan pengendalian medan minyak yang matang. 

 

"Dari sudut perniagaan pertengahan, tumpuan kami adalah menjadikan Terminal Air Dalam Pengerang (PDT) yang masih dalam proses pembinaan sebagai hab petroleum dan petrokimia terbesar di rantau Asia Pasifik,” katanya. 

 

Boon Keat berkata, PDT Fasa 3 (PDT3) merupakan pembangunan terminal simpanan petroleum dan petrokimia yang lebih khusus bagi pelanggan jangka sederhana hingga panjang, terdiri daripada peniaga tenaga, syarikat tenaga multinasional, kilang penapisan dan loji petrokimia.

 

"Bagi perniagaan hiliran, kami akan terus memanfaatkan kekuatan dalam perkhidmatan teknikal bersepadu yang terdiri daripada kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), penyelenggaraan loji dan perkhidmatan pengendalian pemangkin serta produk dan perkhidmatan pakar," katanya. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24), keuntungan bersih Dialog meningkat kepada RM575.03 juta daripada RM510.52 juta berbanding tempoh yang sama sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM3.15 bilion daripada RM3.bil setahun sebelumnya.

 

Dalam laporan baru-baru ini, Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) berkata, semua EPCC projek yang merugikan dalam perniagaan telah siap menjelang FY24.

 

"Dialog sedang mendapatkan beberapa tuntutan ke atas projek EPCC yang merugikan masa lalu mereka, tetapi kami tidak pasti sama ada ia akan membuahkan hasil.

 

“Kami mengekalkan panggilan ‘beli’ pada Dialog dengan harga sasaran (TP) RM3.04 sesaham," katanya. - DagangNews.com