KUALA LUMPUR 25 Sept - RHB Investment menganggarkan pembayaran dividen daripada Petronas akan lebih rendah daripada RM32 bilion pada 2025 disebabkan penurunan harga minyak pada 2024.
Katanya, adalah penting bagi mendapatkan maklumat jangkaan pembayaran dividen Petronas untuk 2025 terutamanya daripada perbincangan antara Petroleum Sarawak (Petros) dan Petronas masih berterusan.
Kerajaan juga berkemungkinan mengutamakan inisiatif tenaga hijau untuk menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), katanya.
"Oleh itu, kami tidak terkejut sekiranya terdapat peruntukan untuk pembangunan tenaga boleh baharu (RE), dan mungkin juga penambahbaikan infrastruktur grid untuk memudahkan inisiatif seperti Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat," katanya dalam satu nota penyelidikan, lapor Bernama.
Firma penyelidikan itu berkata, antara langkah yang mungkin dibentangkan dalam Bajet 2025 ialah penerusan atau pengembangan rebat tunai di bawah program Pemeteran Tenaga Bersih bagi memacu penggunaan solar, terutamanya dalam kalangan pemilik rumah.
Bagi menggalakkan penggunaan tenaga solar kediaman, RHB Investment mencadangkan sokongan tambahan kepada kumpulan B40 menerusi pinjaman dan subsidi dengan faedah yang rendah.
Katanya, kerajaan pada masa sama masih menilai kesan rasionalisasi subsidi diesel.
"Kami percaya terdapat kemungkinan penghapusan subsidi RON95 tidak diketengahkan dalam pembentangan Bajet 2025.
"Kami juga percaya hab petrokimia di Pengerang akan mendapat manfaat pada pembentangan itu sekiranya butiran lanjut mengenai perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) diumumkan," katanya. - DagangNews.com