KUALA LUMPUR 10 Dis - Dagang Nexchange Bhd (DNeX) menerusi DNeX Solutions Sdn Bhd memeterai perjanjian pemegang saham dengan Gamuda Technologies Sdn Bhd iaitu anak syarikat Gamuda Bhd bagi mengendali dan menyediakan perkhidmatan Google Distributed Cloud (GDC) kepada sektor awam dan swasta di Malaysia.
Menurut DNeX, kerjasama itu merangkumi perolehan perkakasan GDC, rumusan Kecerdasan Buatan (AI) tersuai, pembangunan aplikasi, sokongan pelanggan berterusan, migrasi data dan penyelenggaraan infrastruktur.
Di bawah syarat perkongsian itu, DNeX Solutions dan Gamuda Technologies masing-masing akan mempunyai 50% bahagian dalam syarikat kerjasama itu.
Menurut kenyataan itu, syarikat kerjasama itu akan menjadi penyedia tunggal untuk perkhidmatan GDC di Malaysia.
Ia akan memanfaatkan gabungan sumber dan kepakaran DNeX dan Gamuda dalam menyampaikan perkhidmatan GDC, perkhidmatan berasaskan awan yang memfokuskan pada data dan disokong keupayaan AI termaju. - DagangNews.com