KUALA LUMPUR 26 Nov - Ekonomi digital Malaysia dijangka mencecah AS$31 bilion (RM138.4 bilion) dalam Nilai Barangan Kasar (GMV) pada 2024, meningkat 16% daripada 2023.
Menurut e-Conomy Southeast Asia (SEA) 2024 terbaharu oleh Google, Temasek dan Bain & Company, ekonomi digital negara telah berkembang ke arah keuntungan sambil mengekalkan pertumbuhan dua angka untuk GMV.
Pengarah Negara Google Malaysia, Farhan Qureshi berkata, ekonomi digital Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan yang konsisten dan tahun ini merupakan satu lagi bukti kukuh potensi ekonomi digital Malaysia.
"Dengan tumpuan rantau ini terhadap Kecerdasan Buatan (AI), adalah menggalakkan untuk melihat pemimpin negara meletakkan AI dan semikonduktor dalam senarai keutamaan negara," katanya semasa sesi taklimat media, hari ini, lapor Bernama.
Menurut laporan itu, penyertaan digital yang lebih meluas dalam kalangan pengguna, strategi pengewangan yang berkesan dan pemulihan sektor yang terjejas oleh pandemik dijangka memacu pertumbuhan yang berterusan.
Laporan itu berkata, e-dagang kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi digital, apabila sektor itu berkembang sebanyak 17% kepada AS$16 bilion GMV tahun ini apabila platform e-dagang utama melabur semula dalam pertumbuhan GMV yang berpasangan dengan peningkatan perdagangan video.
Perjalanan dalam talian mencatatkan pertumbuhan GMV terpantas berbanding sektor lain pada 19% tahun ke tahun untuk mencapai AS$8 bilion GMV pada 2024 memandangkan pelancongan antarabangsa Malaysia sedang mengalami pemulihan yang teguh dan dijangka melebihi paras pra pandemik pada 2024.
Laporan itu berkata perbelanjaan untuk perjalanan ke luar negara telah melonjak 330% sejak 2020 apabila rakyat Malaysia memanfaatkan peluang untuk melancong ke luar negara, walaupun terutamanya di rantau Asia-Pasifik, yang menyumbang 38% daripada perbelanjaan keluar.
Sementara itu, penghantaran dan pengangkutan makanan telah meningkat 10% daripada AS$3 bilion GMV pada 2023 dan mencecah AS$4 bilion pada 2024, didorong pemulihan permintaan komuter dan perjalanan antarabangsa.
Farhan berkata Malaysia adalah antara 10 negara teratas global memacu minat carian AI, terutamanya dalam sektor pendidikan, pemasaran dan permainan, dengan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menerajui negara dalam minat AI.
Apabila lebih banyak syarikat menggunakan AI untuk berinovasi, meningkatkan kecekapan dan pengalaman pelanggan serta menghidupkan idea baharu, permintaan untuk infrastruktur AI terus berkembang.
Bagi memenuhi permintaan ini, Malaysia merekodkan pelaburan infrastruktur AI yang besar dalam kalangan negara Asia Tenggara sebanyak AS$15 bilion pada suku pertama 2024.
Laporan itu menganggarkan, kapasiti pusat data semasa Malaysia pada 120 megawatt dan menjangkakan ia akan berkembang lima kali ganda pada tahun-tahun akan datang.
"Apabila kita melihat Malaysia, perkara penting yang patut kita raikan apabila kita bercakap tentang AI sebagai perjalanan, kira-kira 50% daripada pelaburan di Asia Tenggara benar-benar berlaku di Malaysia," kata Farhan. - DagangNews.com