Focus Point diunjur catat CAGR 16% antara FY23-FY26 disokong jualan runcit positif dalam segmen optik, F&B | DagangNews Skip to main content

Focus Point diunjur catat CAGR 16% antara FY23-FY26 disokong jualan runcit positif dalam segmen optik, F&B

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - Mercury Securities mengunjurkan Focus Point Holdings Bhd mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 16% antara FY23 hingga FY26 disokong jualan runcit sihat serta pengembangan outlet bagi segmen optik serta makanan dan minumannya (F&B). 

 

Firma penyelidikan itu percaya, latar belakang ekonomi semasa di negara ini cukup menyokong, dibantu kenaikan gaji penjawat awam, pengeluaran separa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kemungkinan Bajet 2025 mesra rakyat dan potensi kenaikan gaji minimum.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana pertumbuhan stabil dalam perniagaan optik ditambah potensi pengembangan pendapatan daripada pemulihan dalam perniagaan F&B," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Mercury Securities berkata, Focus Point merupakan pengendali rangkaian runcit optik terbesar di Malaysia yang mempunyai sejumlah 196 cawangan.

 

Katanya, jualan untuk segmen optiknya kekal teguh, disokong oleh peningkatan kes rabun dalam kalangan penduduk yang semakin menua.

 

Firma penyelidikan itu percaya, potensi kumpulan itu untuk mengembangkan bahagian pasarannya secara bukan organik (<20% sekarang) dengan memperoleh pengendali kedai rangkaian yang lebih kecil.

 

Sementara itu, kumpulan itu telah mencapai perubahan positif dalam segmen F&B (perniagaan Komugi) selepas berjaya pulang modal pada separuh pertama 2024 berbanding kerugian RM1 juta pada separuh pertama 2023.

 

"Kami percaya momentum positif ini boleh dikekalkan, kerana isu lebihan buruh sebelum ini telah diselesaikan sepenuhnya.

 

"Margin operasi Komugi dipercayai boleh meningkat antara 8% hingga 12% pada FY25 hingga FY26," katanya. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.15 sesaham. - DagangNews.com