foodpanda berharap Bajet 2025 menyokong pelaksanaan dasar mesra perniagaan, memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi gig | DagangNews Skip to main content

foodpanda berharap Bajet 2025 menyokong pelaksanaan dasar mesra perniagaan, memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi gig

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Okt - foodpanda Malaysia berharap, Bajet 2025 yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober 2024, dapat menyokong pelaksanaan dasar yang mesra perniagaan bagi memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi gig termasuk sektor seperti penghantaran makanan dan Q-dagang (perdagangan cepat).

 

Pengarah Operasinya, Shubham Saran berkata, pihaknya menjangkakan usaha berterusan untuk membangunkan ekonomi halal menerusi Bajet 2025 bertemakan Negara Makmur, Rakyat Sejahtera, di mana platform penghantaran seperti foodpanda menyumbang kepada pengembangan industri halal dan status Malaysia sebagai hab halal global. 

 

foodpanda
Shubham Saran

 

Di samping itu katanya, pelanjutan pembiayaan yang berfokus pada pekerja gig seperti yang diperuntukkan dalam belanjawan sebelum ini, serta inisiatif kerajaan seperti Telco Rahmah dan kursus peningkatan kemahiran melalui Latihan Teknikal Vokasional (TVET), turut akan membantu pekerja gig mencapai kejayaan. 

 

"Bajet 2025 diharap menampilkan peluang untuk mencorakkan masa depan yang makmur bagi Malaysia, di mana negara dan rakyatnya mampu berkembang maju seiring dengan perubahan pesat dalam landskap digital," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah Shubham, foodpanda Malaysia komited menghargai sumbangan pekerja gig, terutamanya rakan penghantar yang menjadi nadi kepada perniagaan serta menyokong ekonomi digital Malaysia yang lebih luas. 

 

Jelasnya, melalui program utamanya, panda hearts yang memperkasakan penghantar makanan, syarikat telah membuktikan dedikasi terhadap kesejahteraan dan perkembangan rakan penghantar melalui inisiatif-inisiatif dalam bidang seperti literasi kewangan, keselamatan dan pembangunan peribadi.

 

"Dengan membolehkan penghantar makanan mengakses perkhidmatan berkaitan, kami komited untuk mengatasi kekurangan yang dihadapi oleh mereka dalam ekonomi gig dan meningkatkan keselamatan kewangan mereka," katanya.

 

Melalui Kerjasama dengan Universiti Antarabangsa Manipal (MIU), rakan penghantar foodpanda boleh mengikuti kursus diploma sambil bekerja, sekali gus membolehkan mereka melanjutkan pelajaran dan seterusnya membuka peluang untuk jawatan berkemahiran tinggi, sama ada di foodpanda atau di industri lain. 

 

Program Literasi Kewangan Go Giggers 2024 dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) pula menawarkan pendidikan kewangan yang komprehensif kepada lebih 5,000 rakan penghantar, merangkumi aspek pengurusan belanjawan, simpanan dan pembuatan keputusan kewangan melalui penyampaian maklumat grafik, video pendidikan, dan podcast. 

 

Program itu turut menawarkan pelan bimbingan peribadi selama enam bulan bagi membantu mereka mencapai kestabilan kewangan jangka panjang.

 

foodpanda turut menyediakan perlindungan insurans kepada rakan penghantar, dengan pilihan untuk memperluas perlindungan tersebut kepada ahli keluarga mereka pada kadar diskaun. 

 

Di samping itu, kerjasama dengan skim kerajaan seperti PERKESO dan KWSP mendorong pekerja gig untuk mendaftar dalam pelan perlindungan sosial yang merangkumi penjagaan kesihatan, simpanan persaraan dan perlindungan kemalangan.

 

Shubham pada masa sama memuji kerajaan secara proaktif memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup pekerja gig, antaranya Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah PERKESO yang menawarkan perlindungan insurans dan jaringan keselamatan sosial. 

 

Selain itu katanya, kerajaan juga menghasilkan program i-Saraan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan pekerja gig menyimpan untuk persaraan, tanpa mengira status pekerjaan mereka. 

 

"Program peningkatan kemahiran seperti MYFutureJobs dan Program Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) di bawah MDEC turut membantu pekerja bebas meningkatkan kemahiran untuk peluang lebih luas dalam ekonomi digital.

 

"Pelbagai kursus peningkatan kemahiran oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan juga membantu pekerja gig menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran yang dinamik melalui Pendidikan dan TVET," ujar beliau. - DagangNews.com