KUALA LUMPUR 7 Jan - Platform pembiayaan digital terbesar untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Asia Tenggara, Funding Societies, melanjutkan kerjasama dengan Delivery Hero (M) Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Foodpanda (M) Sdn Bhd) untuk menawarkan pembiayaan eksklusif kepada peniaga Bumiputera.
Peniaga foodpanda yang layak kini berpeluang mendapat akses kepada pembiayaan sehingga RM100,000 dengan kadar tahunan 2% dan tempoh pembiayaan fleksibel sehingga 24 bulan.
Inisiatif itu bertujuan membantu usahawan tempatan dengan modal yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon, berkata, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor perkhidmatan Malaysia mencatatkan pendapatan berjumlah RM2.3 trilion pada 2023, peningkatan sebanyak 8.4% berbanding RM2.1 trilion pada 2022.
"Walaupun mencatat pertumbuhan, subsektor makanan dan minuman masih belum pulih sepenuhnya ke tahap pendapatan sebelum pandemik Covid-19. Dalam keadaan ini, akses kepada aliran tunai amat penting, terutama bagi PKS yang menghadapi cabaran kewangan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kerjasama tersebut akan memberi peluang kepada PKS Bumiputera untuk memperoleh pembiayaan yang mampu milik, membolehkan mereka menambah bekalan stok dan mempersiapkan diri untuk pertumbuhan, termasuk mengatasi kesan kenaikan kos sayur-sayuran asas akibat bencana banjir baru-baru ini.
Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Tan Ming Luk pula berkata, pihaknya gembira melanjutkan kerjasama dengan Funding Societies dalam menawarkan pembiayaan eksklusif kepada peniaga Bumiputera.
"Di foodpanda, kami komited untuk memperkasakan peniaga dengan alat dan sumber yang mereka perlukan untuk berkembang dalam pasaran yang mencabar.
"Inisiatif ini akan membantu menyediakan akses kepada modal yang amat diperlukan pada kadar yang berpatutan, terutamanya menjelang musim perayaan yang semakin hampir," ujarnya.
Peniaga Bumiputera perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk memohon pembiayaan itu.
Antaranya adalah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai pemilikan tunggal, perkongsian syarikat sendirian berhad (bukan anak syarikat syarikat tersenarai), atau syarikat awam tidak tersenarai dengan sekurang-kurangnya 30% pemilikan rakyat Malaysia; mempunyai Sijil Akuan Status PMKS daripada SME Corp. Malaysia; mempunyai pengarah yang berusia antara 18 hingga 40 tahun; telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan; dan mempunyai pendapatan tahunan minimum RM60,000.
Permohonan dilakukan secara digital dengan hanya mengemukakan dua dokumen iaitu dokumen pengenalan (untuk pengarah dan syarikat) serta penyata bank selama enam bulan.
Keputusan akan diberikan dalam tempoh beberapa hari.
Tawaran pembiayaan eksklusif itu hanya tersedia sehingga 31 Januari 2025. - DagangNews.com