Gaji mendatar selama sedekad, pekerjaan tidak sepadan dorong pertambahan hutang belia - Khazanah Research Institute | DagangNews Skip to main content

Gaji mendatar selama sedekad, pekerjaan tidak sepadan dorong pertambahan hutang belia - Khazanah Research Institute

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Belia Malaysia semakin terjebak dalam hutang sebaik sahaja mereka memasuki pasaran pekerjaan akibat kebolehpasaran siswazah dan gaji yang mendatar selama sedekad, kata Khazanah Research Institute (KRI). 

 

Kajian KRI yang bertajuk 'Higher education loan repayment: Between moral responsibility and labour market Realities', menunjukkan realiti pasaran kerja graduan universiti di Malaysia masih suram.

 

Gaji permulaan graduan hampir tidak bergerak sepanjang dekad yang lalu.

 

Pada 2021, 60% graduan baharu menerima gaji di bawah RM2,000 dalam pekerjaan pertama mereka, berbanding 61% pada 2010.

 

Menurut kajian yang sama, satu pertiga daripada graduan berpengalaman kekal dalam situasi ketidakpadanan kelayakan.

 

KRI berkata, hampir separuh daripada graduan memegang pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka, walaupun selepas lebih sedekad dalam pasaran kerja. 

 

"Lebih membimbangkan, hampir satu perlima graduan masih memperoleh gaji rendah di bawah RM2,000, walaupun selepas lebih sedekad dalam pasaran pekerjaan.

 

"Ini menandakan cabaran besar yang perlu ditangani, kerana ia menjejaskan keupayaan graduan untuk menampung kos sara hidup mereka pada masa hadapan," katanya.

 

Punca utama isu tersebut ialah penciptaan pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan graduan, kira-kira 80% graduan daripada universiti tempatan berasal daripada keluarga B40, dan 40% daripada pelajar ini bergantung kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

 

KRI mendapati lebih separuh daripada peminjam PTPTN datang daripada pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 pada 2022, masalah semakin meruncing apabila peminjam PTPTN memilih untuk mengambil lebih banyak pinjaman seperti kereta dan perumahan selepas bekerja. 

 

Ketua Jabatan Pembangunan Penyelidikan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohammad Mafrukhin Mokhtar berkata, corak perbelanjaan dalam kalangan graduan menunjukkan keutamaan mereka selepas mendapat pekerjaan adalah untuk membeli kereta.

 

"Pembayaran balik pinjaman pendidikan adalah yang kedua. Apa yang kami perhatikan ialah graduan mempunyai keutamaan untuk kereta mereka dan julat harganya berbeza," katanya.

 

Kajian itu juga melaporkan golongan belia memilih pinjaman kerana simpanan tidak mencukupi dan kos sara hidup yang lebih tinggi, mereka juga bergelut untuk menabung kerana hutang dan kos sara hidup tinggi.

 

KRI berkata, peminjam daripada latar belakang berpendapatan rendah mengalami impak hutang pelajar lebih ketara berikutan jurang pembayaran balik berbanding mereka yang berpendapatan tinggi.

 

Malah, 97% peminjam tergolong dalam kumpulan B40, menonjolkan peranan penting yang dimainkan oleh latar belakang sosio-ekonomi dalam keupayaan mereka membayar balik pinjaman. 

 

"Sebagai pemberi pinjaman, PTPTN perlu menganalisis profil 430,000 peminjam untuk memahami mengapa mereka masih tidak dapat memenuhi obligasi pembayaran balik mereka," kata KRI.- DagangNews.com