Gamuda Land, Taylor’s Education Group tawar pendidikan swasta mampu milik | DagangNews Skip to main content

Gamuda Land, Taylor’s Education Group tawar pendidikan swasta mampu milik

Pelajar akan mendapat akses kepada kemudahan yang luas di Gamuda Gardens, termasuk kolam renang bersaiz Olimpik dan gelanggang sukan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih bermakna.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Nov - Gamuda Land dan Taylor’s Education Group berkerjasama untuk menjadikan pendidikan rendah dan menengah swasta lebih mampu milik dan boleh diakses oleh keluarga di perbandaran dan sekitarnya.

 

Usahasama strategik itu bertujuan untuk menubuhkan sekolah antarabangsa mampu milik dalam perbandaran Gamuda Land yang berkembang maju, bagi menawarkan pengalaman pendidikan holistik yang boleh diakses pada harga yang berpatutan.

 

Seiring dengan peningkatan permintaan terhadap pendidikan swasta di Malaysia, ramai ibu bapa menghadapi halangan dari segi kemampuan, jarak ke sekolah-sekolah berprestij dan akses kepada kemudahan yang menyokong pengalaman pembelajaran menyeluruh. 

 

gamuda

 

Menyedari cabaran-cabaran itu, kedua-dua organisasi bekerjasama mencipta model pendidikan tanpa halangan dan menyokong keluarga dengan penyediaan pendidikan swasta yang mampu milik di perbandaran Gamuda Land, iaitu Gamuda Gardens dan Gamuda Cove.

 

Sekolah pertama di bawah kerjasama tersebut akan dilancarkan di Gamuda Gardens, diikuti dengan rancangan untuk sebuah sekolah kedua di Gamuda Cove.

 

Direka bentuk mengikut piawaian antarabangsa, sekolah berkenaan akan menekankan pendekatan seimbang dalam akademik, sukan, seni dan pembangunan sahsiah, memastikan pelajar bersedia untuk berkembang maju dalam dunia yang saling berhubung kait. 

 

Pelajar juga akan mendapat akses kepada kemudahan komuniti yang luas di Gamuda Gardens, termasuk kolam renang bersaiz Olimpik, gelanggang sukan, tasik dan taman bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih bermakna di luar bilik darjah. 

 

Pendekatan terbabit mengurangkan kos infrastruktur yang ketara yang biasanya ditanggung oleh sekolah lain secara bersendirian dan membolehkan Taylor’s Education Group menawarkan harga yang lebih kompetitif, menjadikan pendidikan berkualiti lebih mudah diperoleh untuk keluarga. 

 

Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Jess Teng berkata, kerjasama dengan Taylor’s Education Group adalah lanjutan semula jadi daripada misi syarikat untuk membina komuniti yang lestari dan berdaya huni. 

 

"Dengan mengintegrasikan pendidikan swasta yang bersifat mampu milik ke dalam perbandaran kami, kami meningkatkan pengalaman kehidupan untuk penduduk kami dan masyarakat sekitar," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Pengerusi Taylor’s Education Group, Dato’ Loy Teik Ngan pula berkata, pihaknya percaya setiap anak berhak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

 

"Melalui kerjasama dengan Gamuda Land ini, kami dapat membawa taraf pendidikan antarabangsa kami kepada khalayak ramai, bagi membolehkan lebih ramai keluarga menyediakan medium terbaik kepada anak-anak untuk berjaya dalam dunia yang sentiasa berubah. 

 

"Sekolah kami akan memberi tumpuan kepada kemenjadian pelajar sepanjang hayat, menanamkan rasa tanggungjawab masyarakat dan melengkapkan pelajar dengan kemahiran pemikiran kritis yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan," ujarnya. 

 

Kerjasama itu menandakan pencapaian penting dalam misi Gamuda Land dan Taylor’s Education Group untuk menyumbang kepada pembangunan negara dengan membina komuniti yang saksama, lestari dan berkembang maju di mana pendidikan berkualiti boleh diperoleh oleh semua. - DagangNews.com