Gas Malaysia bekalkan biometana kepada kemudahan mampan Jepun, ISF | DagangNews Skip to main content

Gas Malaysia bekalkan biometana kepada kemudahan mampan Jepun, ISF

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Nov - Anak syarikat milik penuh Gas Malaysia Bhd, Gas Malaysia Energy and Services (GMES) memeterai perjanjian dengan Intercontinental Specialty Fats (ISF) bagi membekalkan biometana yang diperakui melalui sistem pengagihan gas asli (NGDS). 

 

Bekalan biometana kepada kemudahan berkaitan kemampanan di Jepun itu akan diiktiraf di bawah piawaian International Sustainability and Carbon Certification (ISCC) Plus.

 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif GMES, Mohamad Farid Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif ISF, Toshio Fujimori yang disaksikan oleh Presiden Gas Malaysia dan Pengerusi Lembaga Eksekutif Kumpulan, Ahmad Hashimi Abdul Manap dan Ketua Pegawai Pemasaran ISF, Khoo Yoke Lian.

 

Ahmad Hashimi berkata, perjanjian ini mewakili satu langkah penting ke arah memajukan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam industri yang secara tradisinya bergantung kepada bahan api fosil.

 

"Biometana yang diperoleh daripada efluen kilang kelapa sawit (Pome) ini merupakan pendekatan bagimenangani cabaran alam sekitar berkaitan sisa dan memudahkan peralihan daripada tenaga konvensional sumber kepada alternatif yang lebih hijau, sejajar dengan objektif kemampanan negara yang lebih luas," ulas beliau. 

 

Di samping itu, sebuah lagi anak syarikat Gas Malaysia, Gas Malaysia Green Ventures Sdn Bhd (GMGV), akan memastikan pematuhan  ISCC Plus, yang mengesahkan biometana sebagai produk yang boleh diperbaharui dan mampan.

 

Katanya, GMGV telah memantapkan dirinya sebagai perintis dalam negara dengan mendapatkan sumber biometana yang diperakui daripada Pome.

 

Sebagai sebahagian daripada The Nisshin OilliO Group Ltd, ISF telah memulakan usaha strategik baharu ke dalam biometana bagi memudahkan peralihannya ke arah rumusan RE, sejajar dengan objektif kemampanannya yang lebih luas. 

 

Peralihan kepada sumber RE itu bakal mengurangkan pelepasan karbon ISF dan membantu syarikat memenuhi sasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya (ESG). 

 


Mengulas tentang usaha peralihan industri ke arah yang lebih mampan, Ahmad Hashimi berkata, beliau menyaksikan permintaan alternatif yang lebih hijau seperti biometana semakin meningkat, memandangkan banyak perniagaan dan pelanggan memberi penekanan yang lebih kepada amalan mampan. 

 

"Perjanjian ini meletakkan GMES dan GMGV secara strategik untuk memanfaatkan peluang ini, dengan menyediakan pelanggan rumusan yang berdaya maju bagi mengurangkan kesan alam sekitar mereka," katanya.- DagangNews.com