Gas Malaysia diramal catat prestasi positif pada separuh kedua 2024 didorong permintaan lebih tinggi daripada sektor sarung tangan, F&B | DagangNews Skip to main content

Gas Malaysia diramal catat prestasi positif pada separuh kedua 2024 didorong permintaan lebih tinggi daripada sektor sarung tangan, F&B

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - Gas Malaysia Bhd diramal mencatatkan prestasi positif pada separuh kedua 2024 didorong permintaan gas asli yang lebih tinggi daripada beberapa sektor sarung tangan, kaca serta makanan dan minuman (F&B).

 

UOB Kay Hian berkata, pertumbuhan permintaan gas asli yang lebih baik daripada jangkaan akan terus menyokong pendapatan kumpulan dalam jangka terdekat.

 

Pada asasnya, firma penyelidikan itu menjangkakan kumpulan itu mengalami pengembangan margin berikutan jumlah permintaan gas asli yang lebih tinggi memandangkan model perniagaan perbelanjaan modalnya yang tinggi.

 

"Oleh itu, kami menyemak naik keuntungan bersih 2024 hingga 2026 sebanyak 7% hingga 16%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan separuh pertama 2024 Gas Malaysia didorong oleh peningkatan hasil terkawal hasil daripada kapasiti gas asli yang diluluskan oleh kerajaan yang lebih tinggi.

 

“Hasil terkawal Gas Malaysia 2024 dijangka melonjak RM30 juta, hasil daripada peningkatan 10% dalam kapasiti permintaan,” katanya.

 

UOB Kay Hian berkata, harga gas asli setahun penuh dijangka purata RM44 hingga RM45 bagi setiap tan, berbanding RM43 satu tan pada 2023.

 

"Harga gas asli yang sedikit lebih rendah, kami percaya, akan diimbangi oleh volum gas asli yang lebih tinggi dan keuntungan kawal selia yang lebih besar," katanya, sambil menganggarkan volum gas asli 2024 meningkat 5% hingga 6% tahun ke tahun.

 

"Keuntungan pengagihan yang tinggi akan membantu menampan harga gas asli yang agak mendatar yang dijangkakan pada 2024. Oleh itu, kami menjangkakan keuntungan bersih 2024 yang kukuh sebanyak RM407 juta," katanya.

 

Dengan Gas Malaysia kini menguasai 80% bahagian pasaran runcit gas asli, firma penyelidikan itu berkata, risiko utama bagi kumpulan itu ialah potensi kehilangan bahagian pasaran runcit dalam jangka panjang.

 

“Secara positif, kami mendapati Gas Malaysia telah memperbaharui sekurang-kurangnya separuh daripada kontrak pelanggan industrinya – yang akan diperbaharui pada 1 Jan 2025.

 

"Kami juga memahami bahawa sesetengah pelanggan telah kembali ke Gas Malaysia, setelah sebelum ini bertukar kepada pesaing untuk kontrak tiga tahun," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.30 sesaham. - DagangNews.com