Graphjet mulakan operasi di kilang grafit sisa buangan pertanian pertama di dunia | DagangNews Skip to main content

Graphjet mulakan operasi di kilang grafit sisa buangan pertanian pertama di dunia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Dis - Graphjet Technology Sdn Bhd (Graphjet), sebuah syarikat pembuatan terkemuka yang memberi tumpuan kepada bahan berasaskan karbon dan menghasilkan grafit tiruan daripada sisa biomassa hasil proses minyak sawit, telah memulakan operasi di kemudahan grafit hijau pertama berskala komersial di Subang.

 

Kilang tersebut, yang merupakan kilang berskala komersial pertama di dunia, mempunyai kapasiti untuk mengitar semula sehingga 9,000 metrik tan (MT) kulit biji sawit setiap tahun, bagi penghasilan sehingga 3,000MT grafit.

 

Tahap pengeluaran itu mencukupi untuk menyokong pengeluaran bateri bagi kira-kira 40,000 kenderaan elektrik (EV) setiap tahun.

 

Dengan keluasan melebihi 91,000 kaki persegi, kemudahan Graphjet mempunyai 200 pekerja, menekankan komitmen syarikat terhadap mencipta peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

 

Graphjet juga telah menerima penghantaran pertama kulit biji sawit dan menghantar sampel produk grafit hijau kepada pelanggan-pelanggannya.

 

Selain itu, syarikat merancang untuk menghasilkan karbon keras di kemudahan tersebut untuk menyediakan bahan mentah bagi kemudahan grafit hijau yang dirancang di Nevada.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Graphjet, Aiden Lee berkata, Graphjet kini merupakan pemain utama dalam pengeluaran grafit hijau di luar China, susulan pengoperasisn di kemudahan berkenaan yang mempunyai kapasiti pengeluaran terbesar di luar China.

 

"Kemudahan ini yang merupakan kilang grafit pertama yang memulakan operasi di luar China, membuktikan keupayaan kami untuk memanfaatkan teknologi dalam skala besar. 

 

"Kami bangga memulakan operasi komersial di kemudahan grafit hijau terbesar di dunia seumpamanya," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Tambahnya, kemudahan itu akan memberi syarikat keupayaan untuk menjana pendapatan menjelang tahun kewangan 2025, menyokong pelanggan-pelanggan dan mewujudkan asas yang kukuh untuk operasi di Nevada.

 

Jelas beliau, kemudahan Graphjet menggunakan teknologi patennya yang mampan dan kos efektif untuk menghasilkan grafit hijau secara langsung daripada kulit biji sawit, membolehkan syarikat mengurangkan jejak karbon sebanyak 83% dan mengurangkan kos sehingga 80% berbanding dengan proses tradisional. - DagangNews.com