KUALA LUMPUR 19 Dis - Pemaju utama Bandar Digital No.1 Malaysia, i-City, I-Berhad, mengumumkan kerjasama dengan syarikat francais hotel terbesar di dunia mengikut bilangan hartanah, Wyndham Hotels and Resorts, bagi membina Wyndham Garden di i-City.
Pembinaan itu akan memeriahkan lagi pembukaan Menara SkyCity yang berketinggian 60 meter dan dilengkapi gelongsor kaca sepanjang 600 meter.
Kerjasama antara I-Berhad dan Wyndham Hotels & Resorts tersebut dibuat berikutan prestasi baik Wyndham Suites KLCC yang dilancarkan pada September 2023.
Usaha sama kedua berkenaan turut menggariskan komitmen kumpulan untuk meningkatkan tawaran hospitaliti dan rekreasi Malaysia bertaraf dunia.
Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, sebanyak 13.7% pelancong Malaysia memetingkan keseronokan dan pengalaman keluarga sebagai aspek penting dalam perjalanan antarabangsa mereka.
"Dengan memperkenalkan konsep berdaya cipta yang menggabungkan tarikan SkyCity dengan Wyndham Garden, I-Berhad kini meletakkan kumpulan tersebut di barisan hadapan ruang Playcation.
"I-Berhad mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam pengalaman pelancongan bersepadu yang menggabungkan kemewahan, inovasi dan pengembaraan melalui Wyndham Garden dan SkyCity," katanya dalam satu kenyataan.
Presiden Wyndham Hotels & Resorts Asia Pasifik, Joon Aun Ooi berkata, pembukaan Wyndham Garden di i-City bukan sekadar penambahan hotel dalam portfolio syarikat di Malaysia, tetapi ia juga melambangkan pembangunan yang menyepadukan konsep bandar dan rekreasi di i-City.
"Berdasarkan kejayaan Wyndham Suites KLCC, pelaburan baharu ini terus mengukuhkan kerjasama kami dengan I-Berhad, membolehkan kami terus memberikan pengalaman hospitaliti bertaraf dunia kepada pasaran pelancongan Malaysia yang sedang berkembang pesat," ujarnya.
Di samping itu, kumpulan tersebut turut melancarkan WynSports di Wyndham Suites KLCC, sebuah kemudahan permainan kanak-kanak yang pertama seumpamanya dalam rangkaian global Wyndham.
Dengan keluasan 24,500 kaki persegi, WynSports menawarkan kemudahan rekreasi seperti zon memanjat, ciri-ciri gelongsor dan kawasan melompat, yang memenuhi keperluan keluarga yang mencari pilihan rekreasi bandar.
Perkembangan itu sejajar dengan hasrat pelancongan Malaysia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, menawarkan pelancong tempatan dan antarabangsa pengalaman hiburan, penginapan dan rekreasi yang tiada tandingan. - DagangNews.com