iStore iSend, Diolko rintis perkhidmatan penghantaran perbatuan terakhir menggunakan tren LRT, kurangkan pelepasan gas karbon | DagangNews Skip to main content

iStore iSend, Diolko rintis perkhidmatan penghantaran perbatuan terakhir menggunakan tren LRT, kurangkan pelepasan gas karbon

Troli penghantaran Dialko diangkut menggunakan LRT.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Nov - Penyedia perkhidmatan penghantaran perbatuan terakhir (last mile delivery) Malaysia, Diolko, mengumumkan kerjasama baharu dengan syarikat e-pemenuhan terkemuka iStore iSend, dengan matlamat mengurangkan impak alam sekitar penghantaran, sekali gus menawarkan pilihan yang lebih mesra alam di samping mengekalkan piawaian tinggi khidmat penghantaran. 

 

iStore iSend dijangka mengurangkan pelepasan bahan seperti karbon dioksida sehingga 80% daripada rangkaian perkhidmatannya menerusi kerjasama dengan Diolko. 

 

Setakat ini, data daripada ujian rintis perkhidmatan menunjukkan Diolko berjaya menurunkan pelepasan karbon iStore iSend sehingga 70%, dan kadar tersebut akan terus meningkat seiring dengan pengukuhan kerjasama yang terjalin anatara kedua-dua syarikat. 

 

Diolko menghantar bungkusan kepada pengguna menggunakan kapasiti landasan sedia ada, serta mengurangkan kesesakan jalan raya dan penggunaan bahan api. 

 

Rakan penghantar bermotosikal dan van pula akan mengendalikan penghantaran dalam radius 5-10 kilometer daripada stesen tren setempat dan pendekatan terbabit mengurangkan keperluan untuk perjalanan kenderaan secara jarak jauh.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Diolko, Yoann Gueguen berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan iStore iSend bagi menawarkan kaedah penghantaran perbatuan terakhir yang mampan.

 

"Kami juga membantu iStore iSend untuk mengukuhkan kelebihan daya saingnya di samping menjajarkan matlamat mampan mereka menggunakan rangkaian tren serta mengurangkan kesesakan trafik. 

 

"Kerjasama ini mewakili anjakan yang besar bagi kedua-dua syarikat dalam menyumbang kepada masa depan sektor logistik yang bersifat mesra alam," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif iStore iSend, Joe Khoo pula menyifatkan, pihaknya komited untuk mengurangkan jejak alam sekitar dan ianya dapat dicapai dengan kerjasama bersama Diolko.

 

"Kami telah lama mencari rakan penghantar perbatuan terakhir yang berkeupayaan untuk menyediakan perkhidmatan yang mampan. Walaupun kami melaksanakan langkah-langkah mesra alam seperti pembungkusan yang mampan, ketiadaan rakan perkhidmatan perbatuan terakhir yang sesuai menjadi cabaran sejak sekian lama. 

 

"Diolko mengisi lompong ini dengan model penghantaran yang inovatif, memanfaatkan rangkaian tren Malaysia dalam mengoptimumkan kadar kecekapan penghantaran dan meminimumkan impak kepada alam sekitar," ujar beliau.

 

Diolko akan menguruskan kira-kira 6,000 bungkusan setiap bulan, dan berkeupayaan untuk mengendalikan sehingga 40,000 bungkusan bagi menyokong sasaran kemampanan iStore iSend. 

 

Troli penghantaran Diolko, yang direka khusus untuk penghantaran selamat menggunakan tren, diiktiraf oleh badan penarafan pihak ketiga dan diluluskan oleh APAD untuk digunakan dalam rangkaian LRT. 

 

Langkah itu menjamin aspek keselamatan dan kecekapan seiring dengan peluasan perkhidmatan Diolko.

 

Di samping itu, Diolko membekalkan data terperinci pelepasan karbon pada tahap setiap bungkusan bagi membantu pelanggannya menjejak dan mendokumenkan impak alam sekitar bagi tujuan pelaporan ESG.

 

Pada masa akan datang, Diolko merancang untuk meluaskan perkhidmatannya di luar kawasan Lembah Klang ke bandar-bandar utama di Malaysia dan ke seluruh rantau Asia Tenggara. 

 

Syarikat tersebut juga merancang untuk meluaskan rangkaiannya dengan menyepadukan sistem perkhidmatan awam lain seperti MRT, KTM dan KLIA Ekspres, bagi mengurangkan kadar pelepasan merangkumi kawasan yang lebih luas.

 

Kerjasama berkenaan bukan sahaja membuktikan komitmen Diolko dalam aspek kemampanan, tetapi ia juga menetapkan penanda aras baharu bagi sistem logistik yang mesra alam di Malaysia.

 

 
Dengan lebih banyak syarikat seperti iStore iSend mengutamakan pendekatan yang mesra alam, pendekatan inovatif Diolko dalam penghantaran perbatuan terakhir dijangka akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam hala tuju industri yang beralih kepada masa depan yang lebih mampan. - DagangNews.com