Johor Plantations Group dijangka terus catat pendapatan kukuh didorong peningkatan pengeluaran buah tandan segar | DagangNews Skip to main content

Johor Plantations Group dijangka terus catat pendapatan kukuh didorong peningkatan pengeluaran buah tandan segar

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Nov - RHB Investment menjangkakan Johor Plantations Group Bhd terus mencatatkan pendapatan kukuh bagi suku tahun akan datang didorong peningkatan pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan purata harga jualan (ASP) lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu juga melihat, kos unit kekal sekitar RM2,000 bagi setiap tan didorong harga baja yang lebih rendah kerana keperluan FY24 pada harga 10% hingga 15% lebih rendah.

 

"Melangkah ke FY25, pihak pengurusan menyatakan mereka sedang dalam usaha mendapatkan keperluan baja setahun penuh pada harga 10% lebih rendah.

 

"Oleh itu, kami menurunkan kos unit kami sedikit antara 5% hingga 10% bagi FY24-FY26," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Johor Plantations Group pada 3QFY24 meningkat 12.5% kepada RM76.4 juta

 

Terdahulu, hasil kumpulan melonjak 24.7% kepada RM113.2 juta pada 3QFY24 daripada RM90.8 juta pada tempoh yang sama tahun lepas. 

 

Terdapat beberapa faktor yang mendorong prestasi kewangan suku tersebut termasuk kenaikan 9.8% jumlah penghantaran minyak sawit mentah (MSM) kepada 81,665 tan metrik (MT). 

 

Selain itu, peningkatan dalam volum isirung kelapa sawit (PK) sebanyak 5.5% kepada to 21,608 MT, lonjakan 5.7% harga jualan MSM serta kenaikan harga jualan PK sebanyak 29.4%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ASP minyak sawit mentah JPG ialah RM4,157/tan pada suku ketiga 2024 premium 4.2% berbanding purata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), manakala ASP MSM dalam tempoh sembilanbulan tahun ini ialah RM4,149/tan berada pada premium 3.5% berbanding MPOB. 

 

Melangkah ke hadapan, JPG mengunci premium ASP berbanding MPOB untuk 70% daripada keluarannya pada 2025 dengan premium serupa dengan 2024.

 

"Pengurusan menjangkakan kenaikan harga MSM semasa akan memanfaatkannya, kerana ia menganggarkan setiap kenaikan RM100/tan dalam harga MSM akan memberi kesan kepada keuntungan bersih sebanyak RM22 juta (atau 10%).

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.55 sesaham," katanya. - DagangNews.com