KUALA LUMPUR 11 Okt - RHB Investment meramalkan momentum pertumbuhan jualan Top Glove Corporation Bhd akan meningkat sebanyak 39% sehingga 2025 didorong aktiviti penambahan inventori daripada pelanggan.
Katanya, pada masa sama ia juga akan disokong oleh lencongan perdagangan yang timbul kesan daripada peningkatan tarif Amerika Syarikat (AS) kepada produk keluaran China.
Firma itu berkata, harga getah asli dijangka meningkat sekitar 10% dari suku tahun ke suku tahun tetapi ia akan diimbangi penurunan harga nitrile butadiene rubber (NBR) sekitar 7%.
"Kami menjangkakan dinamik operasi industri yang menggalakkan untuk terus bergerak ke hadapan, disokong oleh pemulihan permintaan yang sihat, mengurangkan risiko persaingan harga serta pelanggan yang lebih menerima kenaikan purata harga jualan (ASP).
"Pengukuhan ringgit akan dilindungi oleh kenaikan ASP kerana pengeluar sarung tangan Malaysia sedang dalam peringkat perbincangan bagi menaikkan harga bagi menangani kesan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) kepada pelanggan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerugian bersih Top Glove pada 4QFY24 susut kepada RM3.57 juta dipacu peningkatan jualan, pelupusan tanah
Terdahulu, hasil kumpulan itu melonjak 75.5% kepada RM835.3 juta berbanding RM476.1 juta tahun lalu.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2024 (FY24), kumpulan itu mencatatkan kerugian RM61.8 juta berbanding RM925.2 juta manakala hasil meningkat 11.5% kepada RM2.5 bilion berbanding RM2.26 bilion pada FY23.
Pendapatan faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) setahun penuh kumpulan itu bertukar positif pada RM251 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 261% berbanding FY23. Jumlah jualan meningkat sebanyak 19% daripada FY23.
Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan kumpulan mengambil langkah proaktif menyelaraskan kecekapan operasinya termasuk menambah baik sistem pemulihan haba dan pengoptimuman penunu bagi penggunaan gas yang cekap.
Katanya, pihak pengurusan menjangkakan kesan ASP yang lebih tinggi akan berlaku mulai November 2024 kerana kumpulan akan mula menyelaraskan kesan kelemahan dolar AS kepada pelanggan.
"Top Glove juga merancang menambah kapasiti baharu sebanyak 4 bilion lagi tahun depan, menjadikan kapasiti efektifnya kepada 64 bilion (daripada 60 bilion) menjelang 2025," katanya.
RHB Investment mengekalkan saranan beli dengan harga sasran (TP) RM1.28 sesaham.- DagangNews.com